JOHOR BUSINESS SCHOOL BERPOTENSI LAHIR GRADUAN BERDAYA SAING
#BatuPahat – Johor Business School (JBS), pusat pengajian baharu yang diperkenalkan oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada tahun lalu dilihat mampu membangunkan modal insan berkualiti, holistik dan juga menjalin hubungan lestari bersama komuniti setempat.
Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang juga Canselor UTHM, bertitah menzahirkan keyakinan JBS juga akan menjadi pemangkin dalam melahirkan graduan cemerlang dalam bidang pengurusan perniagaan serta berdaya saing di peringkat global untuk menerajui pembangunan ekonomi Negeri Johor.
Penubuhan JBS juga seiring dengan rancangan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas Forest City (FCSFZ) dalam usaha untuk memperkukuhkan kemajuan negeri serta seterusnya menjamin kemakmuran hidup rakyat.
Kedua-dua zon khas berkenaan dijangka mencipta lebih 100,000 peluang pekerjaan yang boleh memanfaatkan para graduan khususnya dalam sektor-sektor strategik seperti industri, teknologi, logistik, dan pelancongan.
DYAM Pemangku Sultan Johor juga bertitah, kesungguhan yang tidak berbelah bahagi akan membolehkan JBS serta UTHM menjadi mercu tanda kecemerlangan dalam pembangunan pendidikan tinggi di Negeri Johor, sekali gus menjayakan agenda Maju Johor, Rakyat Sejahtera.
Terdahulu, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor selaku Canselor UTHM menyampaikan titah ucapan bersempena Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen UTHM Ke-24 di Dewan Sultan Ibrahim, UTHM, hari ini.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor