PENEROKA TERHARU KERAJAAN JOHOR SETIA MEMBELA NASIB WARGA FELDA

Keputusan meneruskan penyerahan hak milik kepada 210 peneroka disifatkan sebagai satu langkah yang mampu mengubat rasa terkilan para peneroka yang telah sekian lama menantikan detik bersejarah tersebut. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#Kluang – Keputusan Kerajaan Johor untuk tetap meneruskan Majlis Penyerahan Hak Milik Peneroka FELDA walaupun berdepan dengan pelbagai sekatan dan tekanan daripada pihak tertentu disifatkan sebagai bukti keprihatinan Kerajaan Negeri dalam membela untung nasib dan masa depan warga peneroka.
Keputusan meneruskan penyerahan hak milik kepada 210 peneroka disifatkan oleh Hamzah Juani, Ketua Peneroka FELDA Ulu Belitong, sebagai satu langkah yang mampu mengubat rasa terkilan para peneroka yang telah sekian lama menantikan detik bersejarah tersebut.
Jelasnya, arahan pembatalan Hari Peneroka Negeri Johor oleh pihak tertentu sebelum ini menimbulkan rasa sedih dan kecewa dalam kalangan warga FELDA yang telah membuat pelbagai persiapan bagi menjayakan program tahunan berkenaan.
Beliau yang mewakili warga peneroka FELDA turut mengakui pelbagai usaha telah dilakukan di peringkat tanah rancangan berkenaan bagi memastikan sambutan tersebut dapat diraikan dengan penuh bermakna dalam ruang lingkup suasana muafakat.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan tindakan Kerajaan Negeri yang tetap meraikan 210 keluarga peneroka pada hari ini sebagai satu keputusan yang amat dihargai oleh warga FELDA.
Selain itu, hak milik tanah yang diterima bukan sekadar dokumen pemilikan, malah ia juga menjadi simbol pengiktirafan terhadap jasa dan pengorbanan peneroka yang telah sekian lama membangunkan tanah rancangan di seluruh negeri ini.
Kepimpinan Kerajaan Johor yang sentiasa mendengar suara rakyat serta memahami keperluan masyarakat luar bandar juga disifatkan sebagai faktor utama yang mendorong pelaksanaan majlis berkenaan.
Hamzah turut menyeru warga peneroka supaya terus menghargai hak milik yang diterima serta mengekalkan hubungan baik yang telah sekian lama terjalin dalam komuniti FELDA.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Johor atas usaha berterusan dalam menyelesaikan isu hak milik tanah peneroka yang melibatkan puluhan ribu peneroka di seluruh negeri ini.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Hak Milik Peneroka FELDA yang melibatkan 210 penerima di Dewan Dato’ Onn, Rumah Komuniti Parlimen Sembrong, Taman Sri Lambak, Kluang.
#JohorSafeZone
#GenerasiFELDAJohor
#SegalanyaFELDA
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


