WAGC WORLD FINAL 2026 SASAR JOHOR SEBAGAI HAB PELANCONGAN GOLF GLOBAL

YBhg. Encik Mohammad Nazrul Abd. Rahim, Pengarah Tourism Johor pada Majlis Perasmian Penganjuran World Amateur Golfers Championship 2026 di Bangunan Johor Tourism Information Centre (JOTIC), Johor Bahru. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#JohorBahru – Tourism Malaysia dengan kerjasama Tourism Johor dan Johor Golf Tourism Association (JGTA) kini berganding bahu melancarkan ‘World Amateur Golfers Championship (WAGC) World Final 2026’ yang bakal menjadi penanda aras baharu industri pelancongan golf negara, sekali gus memacu kedudukan Johor sebagai destinasi utama sukan berkenaan.

 

Kejohanan berprestij yang bakal berlangsung pada 23 hingga 31 Oktober 2026 di Desaru Coast ini dijangka menghimpunkan lebih 650 pemain golf dari 50 negara yang akan berentap merebut gelaran juara dunia.

 

Acara yang akan diadakan di tiga lokasi utama iaitu Els Club Desaru Coast, Forest City Golf Resort dan Tanjung Puteri Golf Resort juga adalah antara langkah strategik dalam usaha memacu kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara, sekali gus bakal menjana limpahan ekonomi terhadap industri pelancongan khususnya di Johor.

 

Selain itu, penganjuran kejohanan sukan bertaraf antarabangsa ini juga secara tidak langsung mampu menyemarakkan lagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Johor 2026.

 

Penganjuran yang sudah memasuki edisi *ke-31* ini turut diserikan dengan persembahan kebudayaan warisan Negeri Johor serta persembahan multimedia yang mengangkat tema ‘WAGC World Final 2026 – The Race to Desaru Coast’.

 

Pusingan akhir WAGC 2026 kali ini turut menyaksikan penyertaan negara-negara baharu termasuk Austria, Azerbaijan, Cyprus, El Salvador, Georgia, Ireland, Mauritius, Mexico dan beberapa negara lain.

 

Kehadiran peserta luar negara ini secara tidak langsung mampu memperkukuhkan peranannya sebagai platform jalinan persahabatan antarabangsa, pertukaran budaya serta rangkaian perniagaan melalui sukan.

 

Terdahulu, YBhg. Encik Mohammad Nazrul Abd. Rahim, Pengarah Tourism Johor hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Penganjuran World Amateur Golfers Championship 2026 di Bangunan Johor Tourism Information Centre (JOTIC), Johor Bahru.

 

Turut hadir ialah YBhg. Datuk Manoharan Periasamy, Pengerusi Tourism Malaysia; YBhg. Tan Sri Asmat Kamaludin, Pengerusi Perodua; YBrs. Puan Maizatul Liza Mukhtar, Pengarah Tourism Malaysia Kawasan Selatan; YBrs. Isac Saminathan, Presiden WAGC dan YBrs. Col. (B) Mohd Jamal Salleh, Presiden JGTA.

 

#JohorSafeZone
#TourismJohor
#TourismMalaysia
#JGTA
#WAGC2026
#TahunMelawatJohor2026
#TahunMelawatMalaysia2026
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor