JOHOR CATAT RM12.9 BILION PELABURAN KOMITED


YB Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Johor merekodkan nilai pelaburan komited sebanyak RM12.936 bilion sehingga suku kedua tahun 2024 merangkumi RM7.972 bilion pelaburan langsung asing (FDI) dan RM4.964 bilion kadar pelaburan langsung domestik (DDI).

 

Daripada jumlah tersebut, sektor perkhidmatan mencatatkan RM6.909 bilion manakala sektor perkilangan telah menyumbang pelaburan komited sebanyak RM6.027 bilion sekali gus menyerlahkan kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan unggul di rantau ini.

 

Kerajaan Negeri berkeyakinan penubuhan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) dan inisiatif Johor Fast Lane (JFL) berupaya membantu mempercepat proses pelaburan selain pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) kelak dapat meningkatkan aktiviti perdagangan kedua-dua negara.

 

Selain itu, pelancaran Zon Kewangan Forest City (FCSFZ) juga merintis jalan untuk Johor menjadi pemain utama sektor kewangan di peringkat global selain memacu pertumbuhan ekonomi dan membuka peluang pekerjaan berkualiti tinggi kepada Bangsa Johor terutamanya dalam sektor perkhidmatan profesional.

 

Terdahulu, YB Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor menjawab soalan Ahli Dewan Negeri kawasan Pemanis dalam sesi soal jawab lisan pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15, di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor