JOHOR JADI TUAN RUMAH MESYUARAT IMT-GT


Siri mesyuarat Segitiga Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT) selama lima hari bermula 9 hingga 13 September di The Westin Desaru Coast Resort, Kota Tinggi.

 

Johor menjadi tuan rumah bagi pertemuan dan siri mesyuarat Segitiga Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT) selama lima hari bermula 9 hingga 13 September di The Westin Desaru Coast Resort, Kota Tinggi bagi membincangkan jaringan kerjasama ketiga-tiga negara dalam memanfaatkan peluang ekonomi di rantau ini.

 

Agenda penting melibatkan Forum Ketua Menteri dan Gabenor IMT-GT ke-21 dijadualkan berlangsung esok yang akan dipengerusikan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dengan laporan, cadangan dan input Majlis Datuk Bandar Bagi Bandar Hijau (GCMC) serta Mesyuarat Majlis Hijau (GCM) ketiga-tiga negara jiran menjadi antara intipati mesyuarat.

 

Selain itu, Mesyuarat Menteri IMT-GT ke-30 pada Khamis pula akan dipengerusikan oleh YB Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi, yang akan turut dihadiri penglibatan YDH Edi Prio Pambudi, Timbalan Penyelaras Kerjasama Ekonomi Antarabangsa di bawah Kementerian Koordinator Hal Ehwal Ekonomi Indonesia.

 

Terdahulu, satu mesyuarat sekretariat negara anggota IMT-GT telah diadakan diikuti perbincangan di peringkat Majlis Perniagaan Bersama (JBC) untuk membentangkan rangka kerja serantau bagi pelaksanaan kerjasama ekonomi dan integrasi antara Malaysia, Indonesia dan Thailand.

 

Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) merupakan kerjasama ekonomi dinamik merangkumi 10 wilayah di Sumatera, Indonesia; 11 negeri di Semenanjung Malaysia; dan 14 wilayah di Selatan Thailand bertujuan mempercepat transformasi ekonomi.

 

Memiliki saiz pasaran ekonomi daripada 85 juta penduduk melibatkan 35 wilayah dan negeri dalam kalangan negara anggota, IMT-GT berperanan memacu pertumbuhan mampan dan mengukuhkan integrasi ekonomi di seluruh wilayah anggotanya melalui perdagangan dan pelaburan.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor