JOHOR JOHAN KESELURUHAN MIISMAM 2024


Johor dinobatkan sebagai johan keseluruhan Majlis Ihtifal Ilmiah Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia (MIISMAM) Ke-10. | Foto MDJ Bayu Wira

 

Negeri Johor dinobatkan sebagai johan keseluruhan Majlis Ihtifal Ilmiah Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia (MIISMAM) Ke-10 tahun 2024 yang berakhir hari ini, sekali gus mengukuhkan prestasi cemerlang negeri ini dalam pendidikan Islam.

 

Selepas tiga hari pertandingan berlangsung, kontinjen Johor berjaya mengungguli acara-acara seperti Tilawah Al-Quran, Syarahan Bahasa Melayu, Kitabul Maqal, Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen dan Nasyid.

 

Kejayaan tersebut memperlihatkan ketajaman intelektual, daya kreativiti serta kematangan sahsiah para pelajar Johor yang bersaing dalam pelbagai cabang dan disiplin ilmu dipertandingkan.

 

Selain itu, ia merupakan cerminan serta bukti jelas terhadap keberkesanan sistem pendidikan agama di negeri ini, selain komitmen Kerajaan Johor dalam memperkukuhkan lagi institusi pendidikan Islam di negeri ini agar terus berkembang maju serta memartabat syiar Islam.

 

Terdahulu, majlis perasmian penutup MIISMAM di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar Johor telah disempurnakan oleh YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor selaku wakil rasmi YAB Menteri Besar Johor.

 

Turut hadir, YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Naim Mokhtar, Menteri Hal Ehwal Agama; YB Dato’ Yahya Ahmad, Mufti Negeri Johor dan YBrs Tuan Haji Nasri Md Ali, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor