JOHOR, KBS BINCANG HALA TUJU LAHIR ATLET PELAPIS BERTARAF ANTARABANGSA


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah dalam perbincangan hala tuju pemerkasaan pembangunan atlet-atlet pelapis tempatan bertaraf antarabangsa bersama Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.

 

ISKANDAR PUTERI — Hala tuju pemerkasaan pembangunan atlet-atlet pelapis tempatan bertaraf antarabangsa menjadi intipati dikongsikan delegasi Johor diketuai Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah kepada Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.

 

Pertemuan yang berlangsung di Kemboja, sempena temasya Sukan SEA 2023 itu turut membuka ruang dan peluang kepada delegasi Johor berkongsikan mengenai aspek penambahbaikan sukan khususnya kaedah latihan serta pembangunan atlet pelapis di negeri ini.

 

Mohd Hairi berkata, beliau juga menyuarakan mengenai fasiliti sukan di negeri ini, yang memerlukan nilai tambah dan menggunapakai teknologi terkini selain corak latihan bertaraf antarabangsa untuk melahirkan lebih ramai atlet pelapis berkualiti.

 

“Perancangan latihan dan pengurusan bakal atlet bertaraf antarabangsa melalui sekolah sukan di negeri-negeri sebagai pengeluar atlet pelapis perlu dikaji semula selain pada masa sama, pendedahan atlet kepada pertandingan atau kejohanan di peringkat antarabangsa perlu dipergiatkan lagi.

 

“Perbincangan turut menyentuh soal masa depan atlet negara di mana bekas pemain atau atlet ini boleh dijadikan ikon bagi memberi jaminan atau peluang menjana kemahiran dan pendapatan sendiri. Dalam masa sama juga, mereka dapat terus memberi sumbangan dan bakti dalam arena sukan di negeri atau negara secara berterusan,” katanya.

 

Mohd Hairi turut berkongsi mengenai hala tuju belia di negeri ini, termasuklah isu, cabaran serta program supaya setiap usaha yang dicorakkan seiring dengan komitmen Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

 

“Saya juga turut mengingatkan Timbalan Menteri agar melihat dengan lebih dekat dan fokus berkaitan dengan pembangunan TMIYC yang bukan sahaja boleh menempatkan aktiviti kegiatan orang muda, bahkan menjadi ‘port’ riadah bersama keluarga,” katanya.

 

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Dato’ ‘On Jabbar; Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), Ts. Mohd Ekmaluddin Ishak; Presiden Persekutuan Bola Baling Malaysia (MAHF), Datuk Pandak Ahmad; Naib Presiden Kesatuan Ragbi Negeri Johor, Mohd Najib Johan serta Presiden Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM), Mohamad Fauzi Ishak.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor