AKTIVITI PENCEROBOHAN TANAH RIZAB SUMBANG PENCEMARAN SUNGAI SKUDAI


Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor Bharu, Saharudin Abd Samad, berkata pencerobohan seperti pembinaan rumah-rumah haram dan pencerobohan pokok termasuk pembalakan haram memberi kesan kepada pencemaran sungai | Foto MDJ, Nurina Aisyah

 

JOHOR BAHRU — Aktiviti pencerobohan tanah rizab yang berlaku di sekitar persisiran sungai secara haram menjadi antara penyumbang kepada masalah pencemaran yang serius di Sungai Skudai di sini.

 

Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor Bharu, Saharudin Abd Samad, berkata pencerobohan seperti pembinaan rumah-rumah haram dan pencerobohan pokok termasuk pembalakan haram memberi kesan kepada pencemaran sungai.

 

“Bila ada pencerobohan tanah rizab, persekitaran akan jadi kotor apabila mereka duduk di tepi sungai ini akan membuang sampah terus ke sungai.

Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor Bharu, Saharudin Abd Samad berkata pihaknya turut mengakui proses penyelenggaraan sungai menjadi lebih mencabar kerana terdapat pembinaan rumah haram di tepi sungai.

 

“Aktiviti pembalakan haram pula menyebabkan ekosistem di sungai berkenaan pula menjadi terganggu apabila ia dilakukan secara terkawal,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor semasa Program Johor Bersih Sungai Skudai di Kampung Bakar Batu di sini, hari ini.

 

Saharudin Abd Samad berkata, pihaknya turut mengakui proses penyelenggaraan sungai menjadi lebih mencabar kerana terdapat pembinaan rumah haram di tepi sungai.

 

“Biasanya rumah-rumah haram yang dibina tanah rizab ini turut menganggu laluan jentera kita (JPS). Bila ada rumah, jentera tidak boleh lalu dan bila kita nak roboh (rumah haram) pula, mereka mengatakan menggangu kehidupan mereka.

 

“Selain itu, sebahagian rumah haram berkenaan sudah diarah dikosongkan oleh pihak berwajib. Namun, apabila rumah itu sudah kosong, warga asing pula yang mendudukinya pula.

 

“Ini merupakan satu cabaran JPS dalam menjaga kebersihan sungai, namun kami sentiasa berkolaborasi dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan pencerobohan tanah rizab ini dapat ditangani,” katanya.

 

Seramai 15 kakitangan JPS menyertai dalam program terbabit selain turut menyediakan plastik, penyepit dan pengaut sampah untuk kerja-kerja pembersihan pada program itu.

 

Sebelum ini, bagi menjayakan dan mendidik masyarakat setempat dalam menjaga kebersihan sungai, JPS Johor turut mengambil tindakan proaktif dengan melaksanakan kempen kesedaran seperti Sungai Adalah Kehidupan dan program Kelestarian Sungai di beberapa lokasi di sekitar negeri ini.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor