151 PUSAT JAGAAN KANAK-KANAK BERLESEN DI JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail (tengah hadapan) menghadiri Majlis Penutup Taklimat bagi Program Penarafan Bintang Pusat Jagaan Kanak-Kanak.

 

ISKANDAR PUTERI — Sebanyak 151 pusat jagaan kanak-kanak di Johor telah berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor sehingga tahun ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail, berkata Kerajaan Negeri menerusi JKM Negeri Johor sentiasa komited memastikan pusat jagaan beroperasi mengikut peraturan yang ditetapkan di dalam akta dan peraturan-peraturan 1994.

 

“Kerajaan Negeri Johor melalui JKM Negeri Johor akan sentiasa membuat pemantauan dan pemeriksaan terhadap pusat jagaan sepertimana mengikut Seksyen 13(1) Akta Pusat Jagaan 1993 yang memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Kebajikan atau Pegawai diberi kuasa untuk memasuki dan memeriksa mana-mana premis yang digunakan sebagai pusat jagaan.

 

“Pegawai yang diberi kuasa boleh membuat pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan pusat jagaan dijalankan mengikuti peraturan yang ditetapkan di dalam akta dan peraturan-peraturan 1994,” katanya dalam hantaran di laman sosial Facebook rasminya, hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Taklimat kepada Pengendali Pusat Jagaan bagi Program Penarafan Bintang Pusat Jagaan Kanak-Kanak yang merupakan projek rintis kerajaan Negeri Johor di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Johor Bahru.

 

Sementara itu bercakap mengenai Program Penarafan Bintang Pusat Jagaan Kanak-Kanak 2023, Khairin-Nisa berkata,
ia adalah program rintis bagi memperkasakan institusi pusat jagaan itu di Negeri Johor.

 

Katanya, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam ucapan Belanjawan Johor 2023 mengumumkan peruntukan sebanyak RM250,000 kepada JKM Johor bagi menjayakan projek rintis ini.

 

“Program Penarafan Bintang Pusat Jagaan Kanak-kanak 2023 adalah Projek Rintis Inisiatif Kerajaan Negeri Johor untuk memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada pusat jagaan kanak-anak yang telah memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada golongan berkenaan.

 

“Diharapkan menerusi program ini, kita akan dapat membangunkan secara bersama satu tempat yang selamat dan kondusif untuk kanak-kanak di Negeri Johor bagi membolehkan mereka membesar dengan kebajikan dan keselamatan mereka terjaga,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor