JOHOR LAMA DIHARAP TERUS MENJADI PILIHAN PENGUNJUNG


EXCO Kerajaan Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Norlizah Noh telah menyambut kedatangan rombongan Pejabat Daerah Kulai untuk menerokai sejarah Melayu Johor. | Foto ihsan Facebook Norliza Noh

 

ISKANDAR PUTERI — Pejabat Daerah Kulai mengadakan Program Menyusuri Sungai Johor peringkat Mukim Senai, Kulai 2023 di Johor Lama, dekat Kota Tinggi.

 

Rombongan telah menyusuri Sungai Johor bermula dari Jeti Tun Sri Lanang, Jeti Kampung Panchor, Jeti Sungai Seluyut dan berakhir di Jeti Johor Lama.

 

EXCO Kerajaan Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Norlizah Noh telah menyambut kedatangan rombongan program bertemakan ‘Menyingkap Sejarah Kesultanan Melayu Johor’.

 

Norlizah memberitahu amat berbangga kerana Johor Lama menjadi pilihan rombongan Pejabat Daerah Kulai untuk menerokai sejarah Melayu Johor.

 

“Johor Lama sememangnya kaya dengan sejarah dan banyak lagi perlu diterokai agar sejarah ini akan kekal dan tidak hilang untuk tatapan anak-anak pada masa hadapan.

 

“Saya berharap Johor Lama akan terus menjadi destinasi pilihan pengunjung luar dan secara tidak langsung akan membuka peluang ekonomi kepada orang kampung di Johor Lama,” kata beliau di Facebook rasminya.

 

Mengetuai rombongan tersebut adalah Pegawai Daerah Kulai, Zainor Adani; Penghulu Mukim Senai, Redza Rahman serta Pegawai-Pegawai, Penghulu-Penghulu dan Ketua-Ketua Kampung Mukim Senai.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor