JOHOR MAHU BEKERJASAMA DENGAN SINGAPURA HASIL BEKALAN MAKANAN


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mendengar penerangan syarikat penghasil makanan, Archisen di Singapura | Sumber gambar Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Keselamatan bekalan makanan antara agenda diberikan tumpuan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam lawatan kerja rasmi ke Singapura.

 

Beliau memberitahu telah mendengar taklimat daripada Agensi Makanan Singapura (SFA) berkenaan inisiatif Keselamatan Makanan Singapura serta syarikat penghasil makanan, Archisen.

 

“Isu keselamatan bekalan makanan merupakan antara isu penting di Johor dan saya berharap agar negeri ini dapat bekerjasama dengan Singapura dalam penghasilan produk makanan segar tempatan, selain polisi berkenaan kelangsungan bekalan makanan,” kata beliau dalam Facebook rasminya, semalam.

 

Onn Hafiz memaklumkan telah melawat Pusat Kebangsaan Sains Makanan (NCFS), yang merupakan asas program keselamatan makanan bersepadu SFA selain mendengar taklimat strategi pembangunan sekuriti makanan.

 

“Saya juga membuat lawatan ke syarikat Archisen, yang merupakan hasil ‘grow local’ mereka dalam mengendalikan salah satu ladang dalaman dengan hasil tertinggi di Singapura, dengan unjuran hasil sehingga 100 tan sayur-sayuran setahun.

 

“Umum mengetahui Singapura merupakan negara di tangga pertama di dunia dalam Indeks Sekuriti Makanan Global untuk tahun kedua berturut-turut pada tahun 2019, walaupun Singapura memperoleh lebih daripada 90 peratus makanan dari lebih 170 negara dan wilayah, termasuk Malaysia terutamanya di Johor.

 

“Johor juga merupakan pengeksport utama produk pertanian ke Singapura seperti buah-buahan, ayam, sayur-sayuran dan sebagainya,” kata beliau lagi.

 

Justeru, Onn Hafiz percaya kelebihan Johor sebagai jiran terdekat Singapura dalam penyediaan suasana dan prasarana mesra pelaburan serta tanah yang khusus untuk pertanian moden, mampu menyediakan tapak kepada syarikat seperti Archisen memperluaskan perniagaan diusahakan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor