JOHOR-SINGAPURA SETUJU LIHAT PELBAGAI CARA TINGKAT KESALINGHUBUNGAN


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengadakan perbincangan bersama Menteri Ehwal Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua Ehwal Luar Singapura, Dr. Mohamad Maliki Osman | Sumber gambar Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, hari ini, mengadakan perbincangan bersama Menteri Ehwal Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan.

 

Perbincangan tersebut turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua Ehwal Luar Singapura, Dr. Mohamad Maliki Osman.

 

Onn Hafiz berkata, pelbagai perkara telah dibincangkan khususnya melibatkan hubungan dua hala antara Johor dan Singapura.

 

“Sebagai jiran kepada negara kita, Singapura memainkan peranan yang cukup signifikan dalam perkembangan ekonomi Johor.

 

“Saya terharu mendengar perkongsian kedua-dua Menteri ini tentang bagaimana hubungan akrab antara kedua-dua negara yang kekal utuh, biarpun dalam tempoh mencabar seperti ketika dunia dilanda wabak COVID-19, sehinggalah apabila sempadan kedua-dua negara ini dibuka semula sepenuhnya,” kata beliau di Facebook rasminya.

 

Onn Hafiz berkata, kedua belah pihak juga bersetuju untuk melihat lebih banyak cara yang boleh diterokai bersama dalam meningkatkan kesalinghubungan antara Johor dan Singapura, memandangkan hampir 300,000 orang menggunakan Tambak Johor setiap hari.

 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), Dato’ Mohammed Ridha Bin Dato’ Abd Kadir serta Konsulat Jeneral Singapura di Johor Bahru, Jeevan Singh.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor