JOHOR MAHU LAHIRKAN RAMAI PEMIMPIN MUDA UNGGUL


Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi bersama ahli Dewan Muda Johor (DMJ) 2022/2023. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Kerajaan Johor terus berikhtiar merealisasikan impian melahirkan ramai pemimpin muda yang mampu menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negeri, demi menjayakan Johor sebagai negeri maju menjelang tahun 2030.

 

Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi memaklumkan peruntukan sebanyak RM74.2 juta bagi Orang Muda Johor dalam Belanjawan Johor 2024 menjadi isyarat jelas Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada generasi muda di negeri ini.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi dan Hi-Tea bersama 60 ahli Dewan Muda Johor (DMJ) 2022/2023. Terdahulu, berlangsungnya Persidangan DMJ di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar pada 16 dan 17 Disember 2023.

 

Selain itu, menerusi DMJ, Kerajaan Negeri komited meneruskan langkah proaktif melahirkan kepimpinan masa hadapan dengan mempersiapkan generasi muda berbakat dan berpotensi selari dengan agenda Maju Johor.

 

Inisiatif mula diperkenalkan pada 2021 itu menjadi wadah menghimpunkan anak muda Johor dari pelbagai latar belakang dalam membincang serta membahaskan usul berkaitan dasar Kerajaan Negeri.

 

Sebanyak tujuh usul dibahaskan oleh ahli-ahli DMJ selama dua hari meliputi pemerkasaan Southern Volunteers (SV), memperkemas akses kepada institusi pendidikan awal kanak-kanak dan pembinaan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) di Negeri Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor