KERJA KERAS SELAMA SETAHUN MEMBUAHKAN HASIL – SOLARI


Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari memuji komitmen pasukannya kerana sentiasa berjaya mengekalkan kualiti di atas padang secara konsisten. Foto MDJ Nurina Aisyah.

 

Usaha dan kerja keras yang dilakukan oleh kesemua pemain serta barisan kejurulatihan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) selama setahun ini akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya meraih ‘double quadruple’ selepas memenangi empat kejuaraan dalam dua musim berturut-turut.

 

Lebih manis, kejayaan itu hadir tepat pada masanya sekali gus menobatkan penguasaan sedekad JDT dalam saingan Liga Super Malaysia sejak kelab itu melalui fasa revolusi di bawah DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim pada 2013.

 

Pengendali JDT, Esteban Solari memuji komitmen yang ditunjukkan oleh pasukannya kerana sentiasa berjaya mengekalkan kualiti di atas padang secara konsisten dan pada masa sama turut mempamerkan corak permainan bermutu tinggi yang disifatkannya sebagai bukan perkara yang mudah dilaksanakan.

 

Lebih memberangsangkan apabila perlawanan terakhir menentang Penang FC semalam turut merekodkan pencapaian baharu JDT apabila menjadi pasukan yang berjaya menjaringkan 100 gol pada musim ini yang mana ia dilihat sesuatu yang agak mustahil untuk diulangi dan dicapai oleh pasukan pencabar yang lain selepas ini.

 

Sementara itu, pengendali Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rahkli tidak menganggap kekalahan besar terhadap JDT sebagai satu kegagalan semata-mata tetapi menjadi medan untuk skuad mudanya menimba pengalaman berharga.

 

Katanya, secara realistiknya, ia juga akan menjadi ruang dan peluang kepada pasukan untuk memperbaiki kelemahan yang ada serta seterusnya membuat persediaan bagi memperkukuhkan cabaran pasukannya pada musim hadapan kelak.

 

#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor