JOHOR MAKMUR DI BAWAH NAUNGAN DYMM SULTAN JOHOR


Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor, YBhg Prof. Dato’ Dr. Kassim Thukiman. | Foto MDJ Ariff Nasseem Murad.

 

Oleh YBhg Prof. Dato’ Dr. Kassim Thukiman, Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor

 

Sejarah Kesultanan Johor Moden diasaskan pada tahun 1855 mentransformasi Johor sebagai sebuah negeri maju dan makmur yang secara langsung mensejahterakan Bangsa Johor. Almarhum Dato’ Temenggong Daeng Ibrahim telah memulakan pembaharuan dan pemodenan dengan mengasaskan sistem pentadbiran moden, menarik pelabur asing dan mengutamakan pendidikan dalam kalangan anak-anak kerabat DiRaja dan pembesar.

 

Pembaharuan dan pemodenan menjadi semakin agresif di bawah kepimpinan Almarhum Sultan Abu Bakar dan akhirnya baginda dinobatkan sebagai Bapa Johor Moden. Pada peringkat awalnya, Almarhum Sultan Abu Bakar memastikan ketuanan dan kedaulatan Johor dengan menggubal Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor pada 14 April 1895.

 

Kesultanan Johor Moden mengambil pelbagai inisiatif kemajuan oleh kerana kedudukan Johor yang sangat rapat dengan pelabuhan Singapura. Pelabur telah dijemput datang ke Johor untuk membangunkan ekonomi negeri dalam pelbagai sektor termasuklah perladangan komersial, perlombongan, perdagangan dan sebagainya.

 

Orang-orang Cina telah terlibat dengan Sistem Kangchu seawal tahun 1844 untuk mengusahakan komoditi gambir dan lada hitam secara besar-besaran. Natijahnya, Johor menjadi pengeksport terbesar dunia bagi komoditi berkenaan. Pada awal abad ke-20, perusahaan tersebut semakin merosot menyebabkan Johor memulakan perladangan getah secara besar-besaran di Kota Tinggi dan Mersing.

 

Suatu yang menarik, sebelum Perang Dunia Kedua, misi menarik pelaburan asing telah dijalankan di seluruh dunia. Sejarah merakamkan wakil-wakil perdagangan Johor telah mengadakan pameran perdagangan di Canberra, Adelaide, Chichago, San Francisco, Amsterdam dan London.

 

Di bawah kepimpinan Almarhum Sultan Ibrahim, baginda telah memacu pertumbuhan ekonomi Johor dengan memperkasa sistem pentadbiran yang cekap dan berkesan. Baginda telah memperbanyakkan penubuhan jabatan-jabatan kerajaan serta bangunan pentadbiran yang akan mengurus pembangunan negeri dalam pelbagai bidang.

 

Pejabat-pejabat Daerah juga diwujudkan untuk memastikan pembangunan di seluruh negeri, Pegawai Daerah yang dilantik oleh Sultan Johor (bertindak sebagai Wakil Raja) perlu melaksanakan pelbagai projek dan program pembangunan di daerah masing-masing. Pasukan keselamatan Johor Military Forces (JMF) atau Timbalan Setia Negeri (TSN) pula terus diperkasakan untuk memastikan keselamatan dan kedaulatan Johor.

 

Di samping itu, sistem perkhidmatan awam Johor yang dikenali sebagai Johore Civil Services (JCS) atau Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor turut diperkasakan yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Johor. Pada masa yang sama, Majlis Jumaah Menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor yang ditubuhkan pada akhir tahun 1895 memainkan peranan penting bagi memastikan dasar-dasar kerajaan direalisasikan demi pembangunan dan pemodenan Johor.

 

Selepas merdeka, Johor meneruskan dasar pembaharuan dan pemodenan dalam bidang ekonomi. Ini lanjutan daripada dasar sebelum itu, di mana Johor telah membangunkan pelbagai infrastruktur terutamanya jalan kereta api dari Gemas ke Tanjung Puteri, rangkaian jalan raya merentas daerah serta membangunkan Tambak Johor.

 

Pembangunan dan pemodenan Johor berterusan di bawah kepimpinan Almarhum Sultan Ismail dan Almarhum Sultan Iskandar. Pembangunan luar bandar turut dimajukan dengan penubuhan kawasan FELDA terutamanya di Kota Tinggi, Mersing, Kluang, Segamat, Johor Bahru dan Muar. Pembangunan industri juga semakin berkembang maju di kawasan perindustrian Larkin, Pasir Gudang dan Tebrau dengan penyertaan pelabur asing yang memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada Bangsa Johor.

 

Kemajuan pesat Johor juga ditandai oleh pembinaan rangkaian jalan raya yang lebih baik, Lapangan Terbang Senai, Pelabuhan Pasir Gudang, Lebuh Raya Utara Selatan, Lebuh Raya Senai-Desaru, dan terkini Pelabuhan Tanjung Langsat dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

 

Pembangunan dan pemodenan Johor semakin meluas di bawah kepimpinan DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang mempunyai pemikiran berwawasan untuk memperkasa pembangunan dan kemajuan negeri Johor. Umpamanya, baginda telah mengisytiharkan insiatif The Greater Johor Bahru dengan menarik lebih ramai pelabur asing terlibat dalam pelbagai sektor ekonomi termasuklah perindustrian berteknologi tinggi, sektor teknologi digital, sektor hartanah, sektor pelancongan dan lain-lain

 

Di bawah naungan baginda, Johor Corporation (Jcorp) menerusi aktiviti anak-anak syarikatnya terus memacu pembangunan ekonomi dalam pelbagai sektor termasuklah sektor khidmat kesihatan (Kumpulan Perubatan Johor), sektor makanan (QSR Brand), perladangan sawit (Kulim), hartanah (Johor Land) dan banyak lagi.

 

Pembangunan dan kemajuan Johor juga ditandai dengan pelaksanaan projek mega dalam industri gas dan petroleum di Pengerang yang dahulunya dikenali sebagai kawasan perkampungan nelayan, namun kini berubah wajah menjadi kawasan perindustrian gas dan petroleum. Limpahan pembangunan itu, menjadikan Desaru destinasi yang semakin popular dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa. Sektor perhotelan semakin rancak dan maju yang menawarkan perkhidmatan lima bintang.

 

Lebih istimewa, baginda Sultan Johor sendiri telah melawat beberapa negara di Asia Timur, Asia Barat dan Eropah untuk menarik pelabur asing demi memajukan pelbagai sektor ekonomi di Johor. Baginda telah mempromosi Johor sebagai sebuah kawasan yang sangat strategik dan paling berpotensi untuk pelaburan dan perniagaan. Impak pembangunan dan kemajuan negeri, membolehkan Johor menjadi penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), selain Selangor dan Pulau Pinang.

 

Sehubungan dengan itu, kepimpinan YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dengan berkat naungan DYMM Sultan Ibrahim, sedang merealisasikan agenda Maju Johor dengan enam teras utama bagi memperkasa pembangunan dan kemajuan Johor yang holistik dan bersepadu. Bangsa Johor dengan motto “Muafakat itu Berkat” perlu mengekalkan kestabilan Johor, bersatu padu, mengukuhkan perpaduan bagi memastikan negeri Johor terus maju, aman dan makmur.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor