KEJOHANAN ESPORTS JOHOR ALL STAR 2023 ‘PECAH PANGGUNG’


Suasana kejohanan esports Johor All Star 2023 di Plaza Angsana, Johor Bahru. (Foto : Nurina Aisyah / MDJ)

Perlawanan akhir Kejohanan Esports Johor All Star 2023 di antara pasukan Todak dan Alter Ego dari Indonesia telah membuatkan suasana gempak gempita di Plaza Angsana Johor Bahru.

Angka 60,000 yang menonton secara maya di laman tiktok Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) dan hampir 200 pengunjung yang hadir menyaksikan aksi hangat perlawanan ‘grand final’ ini dengan penuh debaran. Tekanan besar diberikan kepada pasukan Todak tatkala pasukan Alter Ego berjaya mengikat mata di sesi empat perlawanan Grand Final. Akhirnya, Alter Ego berjaya membawa pulang RM30,000 sekali gus dinobatkan sebagai juara Kejohanan Esports Johor All Star 2023.

Shahreel ‘Iqubal selaku Pengurus KPRJ Sports yang merupakan penganjur kejohanan berpendapat bahawa e-sukan merupakan satu medium di mana orang muda boleh menggunakan sebagai platform untuk mengetengahkan lagi salah satu cabang dalam sektor gig ekonomi.

“Saya rasa peluang cerah tetapi kita perlu ‘try and error’ kerana industri ini terlampau baharu di Negeri Johor. Saya rasa ada gerakan positif terhadap industri ini, cuma kita perlu mencari nilai tambah untuk penambahbaikan industri esports ini,” ujarnya.

Pengasas organisasi e-sukan terkenal tanah air, Nureddy Nursal atau lebih dikenali sebagai ‘Daddyhood’ menzahirkan rasa kesyukuran dan kagum dengan sambutan terhadap kejohanan Johor All Star 2023. Beliau tidak menyangka kejohanan di Johor ini mendapat sambutan sangat luar biasa termasuk kehangatan di alam maya. Daddyhood juga berpendapat kemungkinan Negeri Johor agak ketandusan kejohanan e-sukan yang berprestij dan berkualiti, walaupun mempunyai peminat yang ramai dalam sukan berkenaan.

“Saya dalam industri esports ni sangat lama. Saya tahu industri ini boleh berkembang dengan laju dan pergi lebih jauh. Sejujurnya, saya memang mengharapkan lebih banyak pihak memberi perhatian terhadap industri esports.” Luah Daddyhood mengharapkan semua pihak berwajib untuk bersama-sama mengangkat industri e-sukan di Negeri Johor kelak.

#Esport #MediaDigitalJohor #SahihTepatPantas #MajuJohor