JOHOR MENUJU KUASA BESAR PUSAT DATA NEGARA

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor bersama YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Digital. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi

 

#IskandarPuteri – Johor meluluskan 42 projek bernilai RM164.45 bilion setakat suku kedua tahun 2025 menyumbang 78.6 peratus kapasiti operasi teknologi maklumat (IT) sekali gus berada di barisan hadapan industri pusat data negara.

 

Menerusi perkembangan tersebut, Johor terus giat mengatur langkah untuk muncul destinasi utama teknologi digital dan inovasi serantau dengan sasaran menempatkan 60 peratus kapasiti pusat data negara di negeri ini, menjelang tahun 2030.

 

Selain itu, Kerajaan Negeri memperkukuh peranan dalam Task Force Pusat Data (DCTF) bagi memastikan pembangunan sektor yang kian berkembang pesat di Johor dilaksanakan secara menyeluruh, mampan dan memberi impak besar kepada rakyat.

 

Untuk mencapai matlamat berkenaan, Johor menumpukan pembangunan infrastruktur digital berskala besar, penyediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan pelaksanaan dasar mesra pelaburan yang mampu menarik syarikat teknologi global.

 

Dengan kekuatan infrastruktur moden, kedudukan geografi strategik dan dasar progresif kerajaan, negeri ini berpotensi muncul sebagai pusat inovasi digital serantau memacu pertumbuhan ekonomi serta membuka peluang industri baharu.

 

Kerajaan Negeri optimis momentum itu akan memastikan Johor kekal sebagai kuasa ekonomi negara diiktiraf di peringkat global sebagai destinasi utama industri pusat data dan teknologi digital yang dinamik serta berdaya tahan.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengadakan pertemuan bersama YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Digital membincangkan hala tuju pembangunan digital Negeri Johor di MITEC Kuala Lumpur.

 

Turut hadir, YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor serta YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor.

 

#PusatDataJohor
#DigitalJohor
#EkonomiDigital
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor