JOHOR PERLUAS TANAMAN SAWAH PADI


YB Dato’ Zahari Sarip Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2025) bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#IskandarPuteri – Johor sedia menambah keluasan untuk tanaman padi membabitkan kawasan sawah seluas 70 hektar yang akan melibatkan daerah Kluang dan Muar bagi meningkatkan produktiviti tanaman padi serta seterusnya menjayakan Agenda Periuk Nasi Selatan.

 

Bagi maksud itu, sebanyak RM613,000 diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri bagi pembukaan kawasan tanaman padi baharu melibatkan 50 hektar di Sungai Balang, Muar manakala 20 hektar lagi di Sawah Kahang, Kluang dengan kerja-kerja pembersihan serta pembangunan infrastruktur dan penyediaan tanah sudah mencapai kemajuan sebanyak 90 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

 

Walaupun ia dikategorikan sebagai sawah padi di luar jelapang, Kerajaan Negeri komited untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran tanaman itu dari semasa ke semasa dengan hasil pengeluaran padi bagi musim utama 2023/2024 telah meningkat kepada 6,415 metrik tan berbanding 5,581 metrik tan pada musim utama pada 2022/2023.

 

Selain itu, Kerajaan Negeri juga turut mencadangkan kepada pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi menubuhkan Kawasan Pertanian Bersepadu (IADA) Wilayah Selatan untuk mengoptimumkan penggunaan sumber dalam meningkatkan produktiviti industri padi dan beras di Johor.

 

YB Dato’ Zahari Sarip Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor berkata demikian ketika menjawab soalan YB Tuan Selamat Takim, Ahli Dewan Negeri kawasan Sungai Balang mengenai usaha kerajaan menambah keluasan kawasan sawah padi pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2025) bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor