JOHOR REKOD PELABURAN DILULUSKAN RM43 BILION


YB Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Negeri Johor mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM43.05 bilion dengan 751 projek diluluskan yang telah mewujudkan 19,053 peluang pekerjaan, pada tahun lalu.

 

Daripada jumlah berkenaan, pelaburan asing langsung (FDI) merekodkan RM31 bilion bersamaan 72 peratus sementara pelaburan domestik langsung (DDI) pula RM12.05 bilion.

 

Sektor perkhidmatan menyumbang sebanyak RM28.43 bilion diikuti sektor perkilangan dengan RM14.61 bilion menerusi pelaburan asing dari Singapura, Taipei, Amerika Syarikat, China dan Korea Selatan.

 

Teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) meliputi pusat data, perkongsian awan, reka bentuk perisian dan sistem serta kandungan kreatif dan digital merupakan sub-sektor penyumbang utama bagi sektor perkhidmatan.

 

Manakala sub-sektor penyumbang utama sektor perkilangan pula adalah elektrikal dan elektronik diikuti jentera dan peralatan serta kimia dan produk kimia.

 

Kerajaan Negeri optimis dengan perkembangan sektor pelaburan dan menjangkakan prestasi lebih baik bagi statistik suku pertama tahun ini, berbanding tahun lalu.

 

Terdahulu, YB Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor menjawab soalan YB Hahasrin Hashim, Ahli Dewan Negeri (ADN) Johor kawasan Panti berhubung prestasi pelaburan dalam dan luar negara ke Negeri Johor tahun 2023 pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor