JOHOR SALUR LEBIH RM11.2 JUTA BANTUAN KHAS BANJIR


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL) Gelombang Kelima berjumlah RM11.2 juta bagi keluarga dan peniaga yang terjejas banjir. | Foto Onn Hafiz Ghazi

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL) Gelombang Kelima berjumlah RM11.2 juta bagi meringankan beban keluarga dan peniaga yang terjejas.

 

Bagi maksud tersebut, bantuan sebanyak RM3,000 kepada Ketua Isi Rumah (KIR) berdaftar di PPS akan disalurkan sebelum Aidilfitri hasil kerjasama Kerajaan Negeri, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ).

 

Bantuan sebanyak RM500 turut diumumkan yang akan memberi manfaat 441 peniaga Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) dikenal pasti terjejas akibat bencana banjir.

 

Sembilan PBT turut bersetuju memberikan pengecualian semua caj kecuali sewaan untuk Bazar Aidilfitri dan pengecualian semua caj dikenakan oleh PBT bagi Bazar Ramadan yang bakal memberi manfaat kepada 9,839 peniaga di 180 lokasi seluruh negeri ini.

 

PBT yang terlibat adalah MBJB, MDKT, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) dan Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR).

 

Selain itu, sebanyak enam masjid, 17 surau, dan 43 institusi pendidikan merangkumi sekolah agama, sekolah rendah, sekolah menengah serta kolej vokasional yang terjejas akibat banjir juga akan menerima bantuan baik pulih daripada Kerajaan Negeri.

 

Mangsa banjir yang terjejas, tetapi tidak mendaftar di PPS masih berpeluang untuk mengemukakan permohonan rayuan bagi pertimbangan bantuan di Pejabat Daerah yang terlibat iaitu Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi, Pontian, Kluang, dan Batu Pahat sehingga akhir April 2025.

 

Kesemua pengumuman bantuan diumumkan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor itu jelas mencerminkan komitmen dan keprihatinan Kerajaan Negeri membantu meringankan beban mereka yang terkesan dengan bencana banjir demi kesejahteraan dan kestabilan hidup rakyat.

 

#BantuanKhasBanjir
#DoaUntukJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor