JOHOR SIHAT PENJAWAT AWAM NEGERI DITERUSKAN

YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor menyempurnakan pelancaran Program Johor Sihat Penjawat Awam 2.0 Tahun 2025 di Hospital Pakar KPJ Kluang. | Foto MDJ Wira Anggara
#Kluang – Kerajaan Negeri meneruskan kerjasama dengan Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Healthcare Berhad bagi pelaksanaan Program Johor Sihat Penjawat Awam yang mensasarkan memberi manfaat kepada 5,000 penjawat awam negeri pada tahun ini.
Inisiatif Belanjawan Johor 2025 melibatkan peruntukan RM800,000 itu merupakan kesinambungan program sama pada tahun lalu, sebagai komitmen Kerajaan Negeri dalam meletakkan keutamaan terhadap tahap kesihatan penjawat awam.
Sebanyak tujuh hospital pakar di bawah rangkaian KPJ terlibat dalam menjayakan program berkenaan iaitu Hospital Pakar KPJ Johor, Hospital Pakar KPJ Puteri, Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang, Hospital Pakar KPJ Bandar Dato’ Onn, Hospital Pakar KPJ Kluang, Hospital Pakar KPJ Batu Pahat dan Hospital Pakar KPJ Bandar Maharani.
Antara rawatan dan perkhidmatan yang ditawarkan menerusi Program Johor Sihat Penjawat Awam adalah saringan kesihatan menyeluruh, pemeriksaan awal penyakit tidak berjangkit (NCD), konsultasi kesihatan serta program pendidikan kesihatan dan gaya hidup sihat kepada penjawat awam.
Dalam perkembangan lain, kerja pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 2) Bandar Kluang melibatkan peruntukan sebanyak RM44 juta yang mampu menampung kapasiti antara 500 hingga 800 orang sehari kini telah bermula dan dijangka siap pada tahun 2029.
Terdahulu, YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor menyempurnakan pelancaran Program Johor Sihat Penjawat Awam 2.0 Tahun 2025 di Hospital Pakar KPJ Kluang, hari ini.
Turut hadir, YB Dato’ Ismail Abu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan); YBhg. Puan Azurawati Wahid, Pegawai Daerah Kluang dan YBrs. Puan Maisarah Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah KPJ Selatan dan Timur Malaysia.
#JohorSihatPenjawatAwam
#PenjawatAwamJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor