JOHOR SUMBANG HAMPIR 10 PERATUS NILAI JUALAN BORONG, RUNCIT NEGARA

YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor berucap pada Sidang Kemuncak Perniagaan Selatan Malaysia (MSBS) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin (AICC), Johor Bahru. | Foto Lee Ting Han

 

#IskandarPuteri – Sektor perdagangan borong dan runcit Johor kini mencatat pertumbuhan memberangsangkan selepas menyumbang antara sembilan hingga 10 peratus daripada sejumlah RM1.77 trilion nilai jualan sektor itu yang direkodkan Malaysia pada tahun lalu.

 

Prestasi direkodkan itu disumbangkan oleh beberapa faktor antaranya hasil dasar Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang menyeluruh dan inklusif yang merangkumi pemodenan cukai, pendigitalan, pembangunan modal insan dan pembangunan infrastruktur.

 

Antara usaha yang digerakkan ialah pengenalan sistem e-Invois melalui platform MyInvois untuk mengurangkan beban pentadbiran cukai yang membolehkan syarikat kecil dengan nilai jualan tahunan di bawah RM150,000 tidak diwajibkan mendaftar dengan sistem berkenaan.

 

Impak positif juga dapat turut dilihat apabila Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) kini menjadi pelabuhan utama negara dengan sebanyak 12.25 juta unit kontena bersamaan 20 kaki (TEU) dikendalikan pada 2024, manakala Pelabuhan Tanjung Langsat pula kini berjaya membuka terminal kontena pertamanya, sekali gus memperkukuh ekosistem logistik di Johor.

 

Selain itu, Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) yang menyediakan insentif cukai khas dan kemudahan rentas sempadan yang mesra perniagaan dijangka turut menjadikan Johor semakin bersedia untuk memacu sektor runcit inklusif, mampan dan berdaya tahan dalam landskap ekonomi serantau.

 

Terdahulu, YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor berucap merasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan Selatan Malaysia (MSBS) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin (AICC), Johor Bahru, pada Selasa.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor