JOHOR TIDAK KOMPROMI ISU KEBERSIHAN, BUANG SAMPAH KECIL

Hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) dilaksanakan bagi kesalahan membuang sampah kecil sebagai langkah mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat. Foto FB Ah Soon

 

#IskandarPuteri – Johor tidak berkompromi terhadap isu kebersihan awam apabila hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) dilaksanakan bagi kesalahan membuang sampah kecil sebagai langkah mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat.

 

Setakat ini, lima individu terdiri daripada warga tempatan dan warga asing telah disabitkan kesalahan membuang sampah kecil termasuk puntung rokok serta botol plastik sekali gus telah dijatuhkan hukuman denda berserta PKM antara enam hingga lapan jam yang melibatkan kerja pembersihan awam oleh mahkamah.

 

Selain itu, sebanyak 89 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) juga telah dikeluarkan di seluruh Johor, dengan lima kes telah selesai didakwa melibatkan jumlah denda sebanyak RM4,000.

 

Pelaksanaan hukuman ini dibuat di bawah Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672] yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.

 

Peruntukan di bawah Akta 672 membolehkan denda maksimum RM2,000, pelaksanaan PKM sehingga 12 jam serta denda sehingga RM10,000 sekiranya pesalah gagal mematuhi hukuman.

 

Usaha penguatkuasaan berterusan ini selari dengan aspirasi Tahun Melawat Johor 2026, Agenda Johor Bersih dan sasaran Bandar Bersih Johor 2030 bagi memastikan persekitaran negeri kekal bersih, selamat serta sejahtera untuk Bangsa Johor.

 

#JohorSafeZone
#JohorBersih
#PerintahKhidmatMasyarakat
#NoLittering
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor