JTDC RINTIS KERJASAMA PERKASA PEMBANGUNAN BAKAT

Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pusat Pembangunan Kemahiran Johor (JSkills) dengan Politeknik Republik (RP) dan EPI Singapura. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Pusat Pembangunan Kemahiran Johor (JSkills) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Politeknik Republik (RP) dan EPI Singapura yang merupakan antara institut latihan pusat data terkemuka dunia.
MoU antara JSkills dan RP serta EPI Singapura atas platform Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) itu melibatkan penawaran program kemahiran dan pensijilan tenaga kerja pusat data selaras pembangunan industri digital yang semakin pesat di Johor.
Kerjasama yang terjalin bukan sahaja untuk meningkatkan keupayaan dan daya saing tenaga kerja tempatan, tetapi bertindak sebagai pemangkin kepada pelaburan baharu khususnya di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Menerusi program-program ini, lebih 200 pelatih akan menjalani latihan bermula 1 Mac 2025 dengan jaminan penempatan pekerjaan sebagai juruteknik pusat data yang menawarkan gaji premium bermula RM3,500 hingga RM4,000.
Dalam perkembangan lain, program peningkatan kemahiran Pro-Mahir (upskilling) di bawah koordinasi JTDC juga akan mula dilaksanakan, dengan 510 peserta telah dikenalpasti. Menerusi latihan yang berfokus kepada bidang TVET ini, para peserta tersebut akan menerima manfaat lonjakan gaji daripada sekitar RM2,000 ketika ini menjadi RM3,000 hingga RM3,500/bulan.
Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor menyaksikan pemeteraian dan pertukaran MoU antara JSkills dengan RP Singapura dan EPI di Menara Komtar, JBCC.
Turut hadir, YBhg. Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim selaku Presiden & Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp); YBhg. Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah, Pengarah Bahagian Hubungan Industri, Jabatan Pendidikan Tinggi serta YBhg. Mohammad Najmie Noordin, Ketua Pegawai Bakat JCorp.
#JTDC
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor