SEKOLAH RINTIS BANGSA JOHOR KINI BERMULA!


Sekitar Hari Pertama Sesi Persekolahan 2025/2026 serta pelancaran Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) di SK Seri Kota Puteri 4, Pasir Gudang. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#JohorBahru – Empat Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) yang memulakan sesi persekolahan 2025/2026 hari ini bakal menjadi penanda aras kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menilai keberhasilan serta kemenjadian murid yang melibatkan seramai 2,574 murid dan 212 warga pendidik dalam inisiatif pendidikan terbaharu ini.

 

Empat sekolah terpilih menjadi projek rintis ini ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kota Puteri 4, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri 2, SK Tasek Utara dan SMK Tasek Utara.

 

Pelaksanaan SRBJ ini akan dijalankan secara berfasa tanpa menjejaskan silibus pendidikan dan kokurikulum sedia ada. Pada pelaksanaan fasa awal ini, murid-murid akan diperkenalkan dengan konsep serta indikator SRBJ, manakala sesi libat urus bersama ibu bapa dan warga pendidik akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi memperkukuh pemahaman serta mendapat kerjasama daripada semua pihak.

 

Sebagai langkah memastikan keberkesanan program ini, infrastruktur pendidikan termasuk bilik makmal dan peralatan pembelajaran akan disediakan mengikut kesesuaian mata pelajaran seperti subjek Bahasa Inggeris dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

 

Dalam usaha memperkasakan tenaga pengajar, seramai 90 guru dari empat SRBJ akan menyertai kursus fasa dua di National Institute of Education (NIE), Singapura pada 7 hingga 11 April ini yang menekankan pelbagai elemen dan modul Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bagi memperkukuh struktur SRBJ.

 

Untuk rekod, seramai 585,220 murid di seluruh Negeri Johor memulakan sesi persekolahan 2025/2026 hari ini melibatkan murid dari Tahun 1 hingga Tingkatan 6, dengan sokongan 49,315 guru yang turut memulakan tugas mereka.

 

Terdahulu, YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor mengadakan lawatan sempena Pengoperasian Hari Pertama Sesi Persekolahan 2025/2026 serta pelancaran SRBJ di SK Seri Kota Puteri 4, Pasir Gudang.

 

Turut hadir mengiringi beliau ialah Encik Zulkurnain Abdul Rahman, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ); Encik Muhamad Ali Harun, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang dan Siti Sabariah Kasmiran, Guru Besar SK Seri Kota Puteri 4.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor