JUALAN HASIL LAUT SEGAR MELAMBAI KEHADIRAN PENGUNJUNG


Suasana kemeriahan tapak khas jualan hasil laut Orang Asli terletak di Bakar Batu.


ISKANDAR PUTERI —
Setiap kali hujung minggu, tapak khas jualan hasil laut Orang Asli terletak di Bakar Batu, dekat Permas Jaya, menjadi tumpuan masyarakat.

Kemeriahan lokasi ini dapat dirasai seawal jam 7.30 pagi dengan kehadiran pengunjung sekitar bandar raya Johor Bahru, bahkan rakyat dari seberang tambak, Singapura.

Tinjauan Media Digital Johor mendapati pelbagai hasil sungai dan laut segar dijual pada harga yang berpatutan malah jauh lebih murah oleh kumpulan masyarakat Orang Asli di sana.

Selain itu, pengunjung juga boleh mendapatkan buah-buahan dan sayur-sayuran yang pelbagai selain sajian sarapan pagi yang enak.

Bagi Nabilla Md Tahir, 35, memberitahu kunjungannya hampir setiap minggu ke tapak khas jualan hasil laut Orang Asli adalah bagi mendapatkan ‘lauk basah’ untuk tempoh seminggu.

“Lokasi ini menjadi alternatif kepada saya sekiranya tidak ke pasar basah. Tapi, kebiasaanya setiap minggu saya akan ke sini untuk mendapatkan ikan, udang dan sotong yang dijual segar.

“Saya juga gemar untuk membuat ‘jemput-jemput udang geragau’ untuk minum petang. Di sinilah saya mendapatkan udang geragau yang dijual pada harga yang baik,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor