JUALAN KASIH JOHOR MANFAATKAN 350,000 ISI RUMAH, AKAN KEMBALI 18 APRIL INI

Jualan Kasih Johor mencerminkan komitmen Kerajaan Johor dalam menjaga kebajikan rakyat, khususnya menangani kos sara hidup yang meningkat. | Foto FAMA Negeri Johor

 

#IskandarPuteri – Jualan Kasih Johor yang dilaksanakan sempena persiapan menyambut Aidilfitri pada bulan lalu telah memberi manfaat kepada lebih 350,000 isi rumah di seluruh negeri, sekali gus membantu meringankan beban kos sara hidup Bangsa Johor.

 

Program anjuran Kerajaan Johor dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) ini dilaksanakan di kesemua 56 kawasan Dewan Negeri Johor (DUN) dan telah menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada rakyat di negeri ini.

 

Seramai 87,500 penerima juga telah mendapat manfaat secara langsung menerusi peruntukan sebanyak RM3.56 juta yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri bagi menjayakan pelaksanaan program berkenan.

 

Justeru, selepas melihat kepada sambutan yang amat memberangsangkan ini, Program Jualan Kasih Johor akan kembali semula bermula pada 18 April ini di kesemua 56 DUN sebagai usaha berterusan bagi memastikan lebih ramai Bangsa Johor akan mendapat manfaatnya secara langsung.

 

Antara yang menjadi tumpuan ialah penawaran set kombo yang mengandungi seekor ayam, minyak masak 2 liter dan telur sepapan pada harga istimewa RM15 yang telah membantu rakyat untuk mendapatkan barangan asas pada harga lebih berpatutan.

 

Secara keseluruhan, lebih 699 tan barangan keperluan ditawarkan termasuk ayam, ikan, daging dan sayur-sayuran bagi memastikan bekalan makanan asas terus mencukupi serta dijual pada harga mampu milik.

 

Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Johor dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, khususnya dalam menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat mutakhir ini.

 

#JohorSafeZone
#JualanKasihJohor
#FAMA
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor