JUALAN KASIH JOHOR TERIMA SAMBUTAN LUAR BIASA


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi hadir ke Program Jualan Kasih Johor sempena perayaan Tahun Baharu Cina. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Inisiatif Kerajaan Negeri mengadakan Jualan Kasih Johor sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal menjelma beberapa hari lagi menerima sambutan luar biasa dalam kalangan masyarakat setempat.

 

Bagi pesara, Ibrahim Abdul Karim, 75, menyambut baik usaha Kerajaan Negeri membantu meringankan kos sara hidup rakyat pada ketika ini menerusi inisiatif tersebut.

 

 

“Sangat-sangat berbaloi. Apa tidaknya, boleh dikatakan tak sampai RM100 saya boleh dapatkan sembilan ekor ayam pada harga RM4.70 seekor untuk diberikan kepada anak-anak. Itu belum termasuk telur, beras dan minyak masak botol. Saya sangat mengalu-alukan program seperti ini,” katanya.

 

 

 

Manakala Chong Yoke Eng, 61, pula mencadangkan Jualan Kasih Johor tidak hanya diadakan ketika musim perayaan bagi membantu golongan kurang berkemampuan yang terkesan situasi ekonomi tidak menentu.

 

“Saya rasa kalau dibuat seminggu lebih awal sebelum perayaan atau sebulan sekali pun lebih baik kerana kadang-kadang kita tidak mahu beli pada saat-saat akhir. Sebab kita dah berusia, kena elakkan bersesak-sesak untuk dapatkan barangan,” katanya.

 

 

Peniaga ayam, Mazwin Johari, 39, bersyukur dengan kehadiran orang ramai yang menyerbu gerainya untuk mendapatkan ayam pada harga istimewa berbanding di pasaran.

 

 

“Kami sediakan kira-kira 4,000 ekor ayam dari jam 7 pagi sehingga 12 tengah hari. Kami pun bukan sahaja dapat membantu orang awam, ada juga peniaga datang mendapatkan bahan mentah di sini,” ujarnya.

 

 

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan pelancaran Jualan Kasih Johor sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2024 di Pusat Rukun Tetangga Taman Johor, Johor Bahru, hari ini.

 

Program yang bermula sejak 4 hingga 9 Februari ini, melibatkan peruntukan RM1.2 juta daripada Kerajaan Negeri dengan sasaran penerima manfaat seramai 140,000 orang.

 

Jualan Kasih Johor merupakan inisiatif di bawah Strategi Johor Berkebajikan dalam Teras Ketiga : Jaringan Keselamatan Sosial yang diumumkan Menteri Besar Johor ketika Belanjawan Johor 2024.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor