ERA BAHARU TUNKU MAHKOTA ISMAIL SELAKU PEMANGKU SULTAN


DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor menginginkan sebuah kerajaan yang mampu menjaga kebajikan secara keseluruhan. | Foto HRH Crown Prince of Johor

 

Buat kali pertama selepas 35 tahun, sejarah baharu kembali terukir apabila buat pertama kalinya DYAM Tunku Mahkota Ismail menjalankan tugas secara rasmi selaku Pemangku Sultan Johor selepas ayahanda baginda KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bersemayam di Istana Negara mulai 31 Januari lalu.

 

Tugas rasmi pertama DYAM Tunku Mahkota Ismail bermula apabila Baginda berkenan menerima mengadap YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dan YB Tan Sri Dato’ Dr Hj Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor. Pada pertemuan itu, Baginda turut dipersembahkan pelbagai perkara berkaitan hal ehwal negeri.

 

 

Ia sekali gus menunjukkan komitmen Baginda Pemangku Sultan yang bukan sahaja inginkan sebuah pentadbiran Kerajaan Negeri yang lancar tetapi juga menginginkan sebuah kerajaan yang mampu menjaga kebajikan secara keseluruhan.

 

Sebelum ini, ayahanda baginda, KDYMM Sultan Ibrahim juga pernah dilantik sebagai Pemangku Sultan Johor pada 25 April 1984 hingga 25 April 1989 semasa nenda Baginda Tunku Mahkota dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong. Kini, tugas sama turut digalas oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail apabila Baginda akan memegang tampuk pemerintahan Negeri Johor Darul Ta’zim bagi tempoh lima tahun.

 

 

Malah, Seri Paduka Baginda Sultan Ibrahim sebelum ini juga pernah beberapa kali melantik DYAM Tunku Mahota Ismail sebagai Pemangku Raja terutama ketika ketiadaan Baginda Tuanku di dalam negeri bagi urusan tertentu yang disifatkan oleh pemerhati politik dan pentadbiran sebagai antara latihan kepada Baginda Tunku Mahkota untuk menerajui negeri.

 

Justeru, tidak menghairankan apabila Bangsa Johor rata-ratanya tidak sabar untuk melihat sendiri kewibawaan Baginda Tunku Mahkota Ismail untuk menerajui pemerintahan kali ini terutama selepas melihat bagaimana Baginda melakukan transformasi kepada skuad bola sepak JDT hingga menjadi sebuah pasukan yang gah di persada Asia dan dunia sebelum ini. Malah JDT juga telah merevolusi dan mendominasi sukan bola sepak terutama Liga Super selama 10 tahun berturut-turut.

 

Selain itu, DYAM Tunku Mahkota Ismail juga menjadi antara individu yang bertanggungjawab mengasaskan Southern Volunteers (SV) yang berperanan sebagai barisan hadapan dalam membantu rakyat di Negeri Johor terutama ketika berlakunya sebarang bencana seperti banjir. Malah, aktiviti SV juga turut diperluaskan dalam pelbagai aktiviti lain demi kesejahteraan Bangsa Johor secara keseluruhan.

 

Tidak cukup dengan itu, Baginda Tunku Mahkota juga adalah seorang yang amat pemurah apabila turut memberikan pelbagai jenis bantuan termasuk kotak makanan kepada golongan yang memerlukan di seluruh Negeri Johor.

 

Baginda Tunku Mahkota juga tanpa gagal akan turut memberikan kurniaan bantuan kepada keluarga miskin di seluruh daerah dini Negeri ini bagi meringankan beban yang dihadapi mereka, lebih-lebih lagi dengan senario kenaikan harga barang muktakhir ini.

 

Kurniaan bantuan ini dilakukan pada hampir setiap minggu dan ia sebenarnya sudah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu kerana Baginda Tunku Mahkota amat cakna tentang keadaan semasa rakyat baginda dan pada masa sama tidak mahu ada yang tercicir daripada mendapat kurniaan bantuan ini.

 

#BangsaJohor

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor