“KAMI TERBELA DI BAWAH NAUNGAN SULTAN JOHOR” – BATIN LIM


Masyarakat Orang Asli Negeri Johor hidup dalam keadaan aman dan terbela di bawah naungan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar. | Gambar Hiasan Arkib MDJ


ISKANDAR PUTERI —
Dakwaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kononnya mendapat sokongan masyarakat Orang Asli di negeri ini, untuk membantah cadangan penukaran status tanah rizab didiami kepada ‘Tanah Kesultanan’ adalah tidak benar.

 

Batin Kampung Orang Asli (KOA) Kangkar Senangar, Lim Abdul Rahman memberitahu tidak setuju dengan tindakan NGO terbabit malah telah membuat aduan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Johor berhubung isu itu.

 

“Di daerah Batu Pahat, kesemua ketua masyarakat di sini telah beri kata sepakat untuk tidak menyokong apa yang disuarakan oleh NGO terbabit.

 

“Dia (NGO) kata seluruh Batin dan masyarakat Orang Asli di Johor setuju dengan bantahan yang dia buat. Saya cakap, bila masa dia datang ke kampung?,” soalnya ketika dihubungi Media Digital Johor, pada Isnin.

 

Lim turut memaklumkan kehidupan masyarakat Orang Asli di Kangkar Senangar berada dalam keadaan aman selain sentiasa menerima kehadiran daripada pihak polis menerusi rondaan keselamatan.

 

Ujarnya, KOA terletak di Batu Pahat terdiri daripada 60 ketua isi rumah (KIR) dan 12 buah kediaman itu juga kerap menerima kunjungan warga Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi melaksanakan program khidmat masyarakat.

 

“Alhamdulillah, kami rasa terbela di bawah naungan DYMM Tuanku Sultan. Jadi, jika hendak diletakkan kawasan kami ini di bawah ‘Tanah Kesultanan’, kami setuju kerana kawasan kami pun semakin kecil,” katanya.

 

Sementara itu, Batin KOA Berasau, dekat Kluang, Sari Achu juga senada malah menyelar tindakan bantahan dilakukan oleh NGO terbabit.

 

“Saya tidak menyokong tindakan mereka. Tidak perlu untuk buat begitu. Kita (Orang Asli) hidup selama ini pun sudah terbela meskipun serba kekurangan. Kampung kami di sini pun sudah menerima bekalan air bersih dan juga elektrik,” katanya.

 

Media Digital Johor hari ini, melaporkan kenyataan bersama sekumpulan Batin dan wakil masyarakat Orang Asli Negeri Johor yang mengecam tindakan Jaringan Perkampungan Orang Asli Johor (JPOAJ) berhimpun dan menyerahkan memorandum kepada Kerajaan Negeri bagi membantah cadangan penukaran tanah rizab didiami kepada ‘Tanah Kesultanan’ pada Mei lalu.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor