JOHOR BERPOTENSI MENJADI PENGELUAR KERANG UTAMA NEGARA


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip memaklumkan pewujudan estet kerang-kerangan mampu menjadikan negeri ini sebagai hab pengeluaran kerang negara. | Sumber foto: Facebook Dato’ Zahari Sarip.

 

ISKANDAR PUTERI — Johor kini merupakan pengeluar kerang-kerangan utama di negara ini, dan berpotensi menjadi pengeluar kerang utama selain Selangor dan Perak.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip berkata, melihat kepada potensi itu, Jabatan Perikanan Malaysia mengambil langkah untuk mewujudkan estet kerang-kerangan di negeri ini.

 

“Kawasan pantai berlumpur yang luas serta kepadatan benih kerang yang banyak merupakan faktor perangsang yang menyokong usaha jabatan.

 

“Pewujudan estet kerang-kerangan ini bertujuan untuk memberi peluang kepada lebih ramai nelayan tradisi (Zon A) menambah pendapatan serta menyelaras pengurusan ternakan kerang di Negeri Johor,” katanya dalam Program Libat Urus Bersama Komuniti Perikanan Daerah Pontian di Pangkalan Nelayan Ayer Baloi, pada Khamis.

 

Zahari berkata, projek itu juga dapat meningkatkan pengeluaran akuakultur Negeri Johor serta membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan sosial penduduk setempat.

 

Ujarnya, usaha tersebut sekali gus meletakkan Negeri Johor dalam landasan yang betul untuk menjadikan Negeri Johor sebagai hab pengeluaran kerang-kerangan negara.

 

“Pada peringkat pertama ini, jabatan mensasarkan sebanyak 10 lot ternakan di mana akan dimulakan dengan lima lot di daerah Pontian sebagai perintis.

 

“Sasaran pengeluaran bagi satu lot adalah sebanyak 432 metrik tan (mt) dan dijangka dengan keuntungan bersih sebanyak RM784,800 di mana seorang peserta dianggarkan akan menerima keuntungan sebanyak RM52,313.33,” katanya.

 

Beliau memberitahu projek itu akan menyumbang kepada hasil Kerajaan Negeri iaitu RM157,500 sekiranya kesemua lot ternakan kerang ini berjaya dibangunkan.

 

“Pengeluaran kerang di Negeri Johor pada tahun 2022 adalah sebanyak 307.26mt dengan nilai RM2.57 juta dan dijangka akan meningkat dengan wujudnya estet kerang-kerangan Negeri Johor yang dilancarkan,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor