ORANG MUDA FELDA BERPERANAN PENTING BANTU KERAJAAN NEGERI BANGUNKAN JOHOR


Menteri Besar Johor turut menyampaikan bantuan pentadbiran kepada Majlis Belia FELDA Wilayah Johor Bahru dan Segamat. | Foto ihsan Facebook Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI — Orang Muda Johor (OMJ) termasuklah di FELDA perlu bersama-sama dalam agenda membangunkan negeri ini, dan merebut peluang bagi meningkatkan ekonomi dan pendapatan.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menekankan perkara tersebut ketika Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Belia FELDA Wilayah Johor Bahru.

 

“Saya amat gembira dapat bertemu dengan ahli Majlis Belia FELDA Wilayah Johor Bahru. Untuk makluman, jumlah keahlian Majlis Belia FELDA Negeri Johor adalah seramai 5,579 orang, merangkumi 72 persatuan belia.

 

“Sesungguhnya orang muda FELDA berperanan penting dalam membantu Kerajaan Negeri membangunkan Johor, serta merancakkan lagi ekonomi FELDA ke tahap yang lebih baik,” kata beliau dalam Facebook rasminya, pada Isnin.

 

Pada majlis tersebut, Menteri Besar Johor turut menyampaikan bantuan pentadbiran kepada Majlis Belia FELDA Wilayah Johor Bahru sebanyak RM210,000 dan Majlis Belia FELDA Wilayah Segamat berjumlah RM150,000.

 

Ujarnya, bantuan tersebut bagi melancarkan sebarang perancangan aktiviti dan pembangunan belia FELDA kawasan masing-masing.

 

“Semoga kerjasama antara Kerajaan Negeri dan FELDA semakin erat, agar hasrat Johor menjadi sebuah negeri maju menjelang tahun 2030 tercapai,” katanya.

 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia Dan Sukarelawan), Dato’ On Jabbar; ADUN Sedili, Muszaide Makmor; Presiden Majlis Belia Negeri Johor, Aznan Tamin; Pegawai Daerah Johor Bahru, Muzaldin Mohamed; Pengarah FELDA Wilayah Johor Bahru, Mohd Nizam Abdul Ghani serta Presiden Majlis Belia FELDA Malaysia, Muhammad Fadzli Hasan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor