KAPAL BAWA ‘MUATAN SERANGGA PEROSAK’ DIARAH BERPATAH BALIK


Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor mengarahkan sebuah kapal yang membawa muatan kopra kelapa kering supaya berpatah balik semula ke Indonesia kerana mempunyai serangga perosak / MAQIS Johor.

 

BATU PAHAT — Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor mengarahkan sebuah kapal yang membawa muatan kopra kelapa kering supaya berpatah balik semula ke Indonesia.

Ia berikutan pemeriksaan MAQIS Johor terhadap kapal yang membawa barangan komoditi itu menemui serangga perosak pada muatan kopra kelapa kering yang dibawanya.

Pengarah MAQIS Johor, Edie Putra Md Yusof, berkata pemeriksaan lanjut pada kapal yang membawa dagangan berkenaan menemui serangga perosak disyaki jenis ‘Red Legged Ham Beetle’ pada kopra kelapa kering berkenaan.

“MAQIS Johor menahan sebuah kapal dagangan yang membawa masuk 160 tan kopra kelapa kering kira-kira jam 12 tengah hari, Khamis lalu di Jeti Batu Pahat.

“Berikutan penemuan kumbang perosak berkenaan, dagangan sebanyak 160 tan dengan anggaran nilai RM272,000 itu tidak dibenarkan masuk ke negara ini bagi mengelak penyebaran serangga perosak yang boleh menjejaskan industri kelapa negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan kepada media yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook rasminya, hari ini.

Edie Putra berkata, justeru kapal dagangan berkenaan dinafikan kemasukan ke Malaysia melalui pintu masuk di Batu Pahat dan perlu kembali semula ke negara asalnya Indonesia, semalam.

Katanya, perbuatan mengimport sebarang jenis keluaran pertanian yang berperosak adalah satu kesalahan serius di bawah Seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum mengikut Sekyen 14 akta yang sama.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM150,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor