KEBERSIHAN ADALAH TANGGUNGJAWAB BERSAMA


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, berkata ia termasuklah tanggungjawab menjaga kebersihan kawasan perumahan dan kejiranan masing-masing.

 

JOHOR BAHRU — Semua penduduk setempat khususnya penghuni perumahan strata perlu mempunyai sifat tanggungjawab sosial demi kesejahteraan secara bersama.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, berkata ia termasuklah tanggungjawab menjaga kebersihan kawasan perumahan dan kejiranan masing-masing.

 

Katanya, paling penting penduduk juga perlu mempunyai rasa kebertanggungjawaban dalam menjelaskan yuran kepada Jawatankuasa Penduduk atau Pebadanan Pengurusan (MC) yang bertanggungjawab melaksanakan kerja penyelenggaraan khususnya di kawasan perumahan strata terutama di flat kos rendah.

 

“Rakyat perlu faham bahawa di peringkat flat awam ini mempunyai Jawatankuasa Penduduk sendiri di mana punca pendapatan adalah daripada pungutan fi (yuran) setiap unit rumah.

 

“Seperti di sini (Flat Awam Taman Ungku Tun Aminah) ada penduduk yang bayar kepada pihak MC pada kadar RM15, RM20 dan RM30. Apa yang berlaku selama ini adalah terdapat segelintir penduduk yang tidak membayar yuran penyelenggara kepada wakil penduduk di sini.

 

“Keadaan ini menyebabkan banyak operasi seperti pembersihan dan kerja baik pulih tidak dapat dilakukan (disebabkan ketiadaan dana untuk penyelenggaraan),” katanya kepada pemberita selepas menyertai Kempen Johor Bersih Peringkat Flat Awam Taman Ungku Tun Aminah di sini, hari ini.

 

Mohd Jafni berkata, pihaknya difahamkan hampir 70 peratus Jawatankuasa Penduduk di flat awam di negeri ini berhadapan dengan isu pungutan yuran penyelenggaraan ini berikutan hanya sekitar 20 hingga 30 peratus penghuni perumahan strata setia menjelaskan bil berkenaan.

 

“(Keadaan ini menyebabkan) mereka tidak boleh melaksanakan tugas kepada komuniti hingga akhirnya timbul isu flat awam seumpama ini tidak mempunyai wakil penduduk untuk uruskan perkara-perkara berbangkit ini (penyelenggaraan dan penjagaan kebersihan),” katanya.

 

Ditanya sama ada terdapat peruntukan undang-undang yang boleh digunakan bagi mengatasi isu ini, beliau berkata tugas pelaksanaan itu terletak kepada Jawatankuasa Penduduk itu sendiri.

 

“Di peringkat flat awam, bidang kuasa tindakan tidak ada pada pihak berkuasa tempatan (PBT), tidak ada pada Kerajaan Negeri kerana ia berada di bawah Jawatankuasa Penduduk atau MC itu sendiri. MC ini mempunyai akta khas untuk mengambil tindakan terhadap penyewa atau penghuni berkaitan wang fi berkenaan dan boleh dibawa ke mahkamah.

 

“Tetapi isunya, di peringkat MC ini, mereka ingin melaksanakan (tugas penyelenggaraan) tetapi duit tidak ada hingga menjadi satu kekangan. Bukan semua MC ini tidak gagal kerana ada yang berjaya kerana mereka menggunakan konsultansi dan sebagainya.

 

“Jadi kita juga minta dari peringkat penduduk ini, kita kena ada tanggungjawab sosial. Jangan kita buat Kempen Johor Bersih, mereka buat kotor di kawasan mereka sendiri. Kita di peringkat PBT sanggup bantu dan masa sama kita nak mereka juga bersama dengan kerajaan dan PBT,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor