RANCANGAN TEBATAN BANJIR DI SEGAMAT DILAKSANA JUN DEPAN


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata projek bernilai RM648 juta yang diluluskan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu akan mengambil tempoh kira-kira dua tahun untuk disiapkan. | Foto ihsan Facebook RISDA Negeri Johor

 

ISKANDAR PUTERI –– Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di daerah Segamat bakal dilaksanakan pada bulan depan bagi mengatasi masalah banjir di kawasan terbabit.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata projek bernilai RM648 juta yang diluluskan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu akan mengambil tempoh kira-kira dua tahun untuk disiapkan.

 

“Alhamdulillah, fasa pertama projek melibatkan Lembangan Sungai Muar yang bernilai RM300 juta itu telah selesai. Projek ini merupakan langkah penyelesaian jangka panjang untuk kita menyelesaikan masalah banjir di sini.

 

“Bagaimanapun, kita juga perlu ada penyelesaian jangka pendek dan bagi tujuan itu, saya sudah meminta Pejabat Daerah Segamat, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sediakan pam-pam air yang mencukupi dan buat persiapan awal sebelum musim monsun melanda,” katanya ketika berucap di Karnival Maju Johor & Tanah Segamat di Dataran Segamat, semalam.

 

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip dan Pegawai Daerah Segamat, Mohd Masni Wakiman.

 

Pada majlis itu, Onn Hafiz turut menyempurnakan penyerahan lebih 300 geran tanah kepada penerima di daerah Segamat melibatkan Felda Chemplak Barat, Bukit Bujang 1 dan 2.

 

Berucap pada majlis sama, Onn Hafiz turut mengumumkan berita gembira kepada mangsa banjir di daerah Segamat khususnya mereka yang terkesan teruk dengan bencana itu sebelum ini.

 

“Untuk mangsa banjir yang hendak ganti dokumen tanah yang rosak akibat banjir, pihak Pejabat Tanah & Galian (PTG) Johor memutuskan pembaharuan dokumen yang rosak boleh dibuat secara percuma,” katanya.

 

Sementara itu dalam perkembangan lain, Onn Hafiz berkata, daerah Segamat juga berpotensi untuk menjadi pemangkin ekonomi berasaskan pertanian dan hab ‘foodbank’ di negeri Johor.

 

“Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) juga akan memberi limpahan ekonomi buat masyarakat di Segamat. Kita juga ada beribu ekar kawasan sawit, getah, nanas dan durian dan juga limau bali. Kita perlu cari kaedah untuk jadikan Segamat sebagai foodbank di Johor kelak,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor