KEHILANGAN PEMIMPIN MENJIWAI RAKYAT : MENTERI BESAR JOHOR
PONTIAN — Kerajaan Johor merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang kembali ke Rahmatullah, semalam.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pemergian Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram itu dirasai Kerajaan negeri.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri kita rasa sedih dan juga rasa kehilangan seorang pemimpin yang menjiwai rakyat terutama di kawasan parlimen dan DUN arwah.
“Dan kita doakan roh arwah sentiasa dicucuri rahmat Allah SWT dan semoga keluarga beliau tabah menghadapi ujian yang cukup besar ini. Takziah saya ucapkan kepada mereka semua,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Terdahulu, Menteri Besar Johor hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Salahuddin dan bersama menunaikan Solat Jenazah di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot, Serkat, di sini.
Salahuddin, 61, yang juga Timbalan Presiden AMANAH menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, jam 9.23 malam, semalam.
Selain jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang disandangnya hingga kini, beliau pernah dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.
Beliau sebelum ini pernah menjadi Ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan selama dua penggal sebelum dipilih sebagai Ahli Parlimen Pulai juga selama dua penggal pada PRU-14 dan PRU-15.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor