NEGARA KEHILANGAN SEORANG TOKOH : PERDANA MENTERI


Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengimamkan Solat Jenazah ke atas Allahyarham Salahuddin di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot, Serkat. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

PONTIAN — Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyifatkan negara kehilangan seorang tokoh dengan pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

 

Ahli Parlimen Tambun itu berharap sifat penyayang dan rahmah yang ditonjolkan serta dedikasikan oleh Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram sehingga akhir hayat itu menjadi teladan.

 

“Beliau seorang yang sahabat, seorang pejuang yang telah bersama sejak puluhan tahun dan tentulah kehilangan bukan sahaja sebagai sahabat, tapi juga sebagai negara. Kerana Allahyarham Salahuddin ini sinonim dengan rahmah.

 

“Dan itu menunjukkan sifat dia yang konsisten dalam mesyuarat-mesyuarat melibatkan saya ataupun Jemaah Menteri. Atau pun sudah terlepas, cari jalan dan kaedah meringankan beban rakyat,” kata beliau ketika ditemui pemberita, hari ini.

 

Terdahulu, beliau hadir memberikan penghormatan terakhir selain mengimamkan Solat Jenazah ke atas Allahyarham Salahuddin di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot, Serkat, di sini.

 

Selain itu, Perdana Menteri turut menyampaikan salam takziah daripada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kepada keluarga Allahyarham.

 

Anwar turut mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan di kalangan para solihin.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor