MBIP AKAN PANTAU DARI SEMASA KE SEMASA MENDAPAN TANAH DI FOREST CITY


Keadaan semasa insiden mendapan tanah di Forest City. | Foto MDJ, Saufi Razale

 

ISKANDAR PUTERI — Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa susulan kejadian tanah runtuh berlaku di Jalan Forest City-Lebuh Tanjung Pelepas, semalam.

 

Datuk Bandar MBIP, Dato’ Mohd Haffiz Ahmad berkata, laluan utama ke Forest City juga masih dibuka, namun di bawah kawalan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 

“MBIP akan bantu sewajarnya dan akan buat pemantauan bersama pihak PDRM, pemaju dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

 

“Pihak pemaju akan menyelesaikan masalah ini, dan mereka sedang mengusahakan jalan alternatif sejauh satu kilometer bermula jam 12 malam tadi, dijangka siap dalam tempoh 48 jam,” katanya ketika dihubungi Media Digital Johor.

 

Sementara itu, Pegawai Daerah Johor Bahru, Muzaldin Mohamed berkata, pihak pemaju telah memanggil pihak konsultan untuk mengenal pasti punca sebenar insiden terbabit.

 

“Kita lihat bahawa walaupun ia berlaku di laluan keluar dari Forest City, tetapi berlaku juga rekahan di sebelah (laluan masuk). Pihak pemaju dah sediakan laluan sementara menggunakan turapan batu kerikil.

 

“Ia akan digunakan sehingga laluan alternatif siap. Jadi saya minta pihak pemaju untuk percepatkan kerja-kerja pembinaan jalan alternatif,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor selepas mengadakan tinjauan di Forest City, hari ini.

 

Semalam, Media Digital Johor melaporkan insiden tanah runtuh yang berlaku di Jalan Forest City-Tanjung Pelepas, namun kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor