KEMBARA MAHKOTA JOHOR: RAJA DAN RAKYAT BERPISAH TIADA


DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang mengilhamkan program “Kembara Mahkota Johor”. | Foto arkib MDJ

 

Oleh YBhg Prof. Dato’ Dr. Kassim Thukiman, Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor

 

Sejak pengasasan Kesultanan Johor Moden, hubungan antara Raja dengan rakyat sangat akrab, yang menterjemahkan kata-kata mantera “Raja dan rakyat berpisah tiada”. DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar telah mengilhamkan program “Kembara Mahkota Johor” dengan galakan ayahandanya untuk melawat seluruh negeri Johor bagi mendampingi rakyat jelata.

 

DYMM Sultan Ibrahim terkenal dengan sifatnya yang berjiwa rakyat dan cukup sinonim dengan program Kembara Mahkota Johor (KMJ) yang dimulakan sejak tahun 2001 ketika baginda bergelar Tunku Mahkota Johor.

 

Baginda Tuanku Sultan pernah bertitah bahawa “KMJ bermatlamat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini. Program ini menjadi satu acara tahunan yang saya sentiasa nanti-nantikan sebagai salah satu cara saya berdamping rapat dengan rakyat jelata”.

 

 

Pada peringkat awal, program KMJ melibatkan Tuanku Sultan dan kerabat DiRaja untuk melawat daerah-daerah dengan menaiki motosikal. Dengan itu, baginda boleh mendalami kehidupan rakyat, merasai nadi denyut rakyat serta menyantuni mereka yang kurang bernasib baik.

 

Kemudiannya, baginda berkenan untuk menjadikan program KMJ sebagai suatu acara rasmi kerajaan yang disertai oleh pegawai-pegawai kerajaan termasuklah Menteri Besar Johor dan Setiausaha Kerajaan Johor.

 

 

 

Para pemimpin tempatan seperti Pegawai Daerah, Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan, Wakil-Wakil Rakyat, Penghulu, Ketua-Ketua Kampung dan pemimpin badan-badan bukan kerajaan turut terlibat bagi menjayakan program KMJ di daerah masing-masing. Program KMJ ini amat dinanti-nantikan oleh rakyat dan Bangsa Johor setiap tahun kerana berpeluang untuk berjumpa keluarga DiRaja Johor secara lebih dekat.

 

Rakyat juga amat teruja dengan melihat pelbagai jenis kenderaan yang digunakan bagi memeriahkan program KMJ. Antara kenderaan yang digunakan termasuklah motosikal berkuasa tinggi, motokar, kereta api, bot, bas, lori Trak Mack, kereta klasik beroda tinggi dan kenderaan pacuan empat roda (4WD). Baginda juga biasa menaiki motosikal untuk masuk di kawasan kampung di pedalaman.

 

Baginda Tuanku Sultan dan keluarga DiRaja Johor juga berkenan menyertai pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang secara tidak langsung mengeratkan lagi hubungan antara Istana Johor dengan rakyat jelata. Pelbagai acara yang melibatkan Tuanku Sultan dan kerabat DiRaja telah mengurangkan protokol rasmi sepertimana amalan biasa. Namun begitu, penghormatan dan taat setia rakyat kepada Raja tidak pernah berkurangan.

 

Antara acara yang diadakan termasuklah sukaneka rakyat, memasak pelbagai menu makanan, seni kraftangan, sukan laut  dan sebagainya. Menariknya, setiap daerah yang dilawati oleh rombongan DiRaja mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri, sekaligus menonjolkan niche daerah masing-masing.

 

Sebagai rumusannya, KMJ adalah suatu program tahunan yang penting dan mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan rakyat yang ingin mendekati Raja dan kerabat DiRaja. Program KMJ juga menggambarkan hubungan yang amat akrab antara Istana Johor dengan rakyat jelata dengan bertemakan motto “Muafakat itu Berkat”.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor