PENGISYTIHARAN ZON KERANGAN LONJAK PARIT BUNGA


DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar mengisytiharkan Parit Bunga sebagai Zon Kerangan ketika Kembara Mahkota Johor (KMJ) beberapa tahun lalu. | Foto MDJ Hafez Azhar.

 

Oleh: Badrul Kamal Zakaria, Ariff Nasseem Murad, Farhanah Haziqah Noh, Suhana Mohd Arifin dan Farhan Khair

 

Jika sebut mengenai Tangkak, biasanya apa yang terlintas di benak fikiran adalah bagaimana pemandangan Gunung Ledang yang mengagumkan selain deretan kedai tekstil yang mendominasi sebahagian besar ekonomi di daerah ini.

 

Namun siapa sangka daerah ini turut mempunyai ‘hidden gem’ yang tersendiri iaitu pelbagai jenis hidupan marin seperti tiram, siput, lokan, mentarang, kerang dan sebagainya yang sememangnya mudah diperolehi menerusi pelbagai gerai jualan yang wujud di sepanjang jalan di Kampung Parit Bunga.

 

Malah tidak keterlaluan jika mengaitkan usaha melonjakkan usaha mempromosi ini adalah sebahagian daripada inisiatif yang dilakukan oleh DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang mengisytiharkan Parit Bunga sebagai Zon Kerangan ketika Kembara Mahkota Johor (KMJ) beberapa tahun lalu.

 

Peniaga Kerangan Parit Bunga, Hisham Abdul Rahman. | Foto MDJ Hafez Azhar.

 

Peniaga Kerangan Parit Bunga, Hisham Abdul Rahman, 51, berkata pihaknya bersyukur dengan kurniaan baginda tuanku yang berkenan untuk mengisytiharkan perkampungan di tepian Sungai Muar itu sebagai Zon Kerangan bukan sahaja di daerah Tangkak tetapi juga di kawasan Johor Utara.

 

“Alhamdulillah, semenjak DYMM Sultan Johor memperkenalkan Parit Bunga sebagai Zon Kerangan menyebabkan kawasan ini mula dikenali termasuk pelancong luar yang berkunjung sama ada ke daerah Tangkak atau Muar kerana perkampungan ini sememangnya laluan utama yang menghubungkan kedua-dua daerah.

 

“Kebanyakan peniaga di Zon Kerangan ini adalah anak watan kampung ini. Walaupun kita sudah berniaga di sini sudah bertahun-tahun, namun dengan pengisytiharan yang dilakukan oleh tuanku telah melonjakkan lagi kawasan ini,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor.

 

Hisham berkata, terdapat kira-kira 20 peniaga kerangan di kawasan ini selain terdapat juga beberapa gerai jualan buah-buahan yang turut menggambarkan Tangkak sebagai sebuah daerah yang kaya hasil laut dan darat.

 

“Produk kerangan ini diperolehi daripada peraih yang mendapatkannya daripada nelayan dan juga masyarakat Orang Asli sekitar daerah ini. Malah, di Sungai Muar sendiri kaya dengan hasil tiram dan kupang. Sebab itulah semua kerangan yang dijual adalah segar dan berkualiti tinggi.

 

“Sebelum ini, permintaan terhadap kerangan agak baik, namun mungkin kerana situasi ekonomi masa kini yang kurang memberangsangkan menyebabkan permintaan terhadap produk kerangan berkurangan sedikit berbanding tahun sebelumnya. Mungkin pelanggan mengambil tindakan berbelanja secara berhemah namun kami berharap apabila ekonomi sudah pulih, ia mampu merancakkan semua ekonomi berasaskan kerangan di kawasan ini kelak,” katanya.

 

#SultanBerjiwaRakyat
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor