SULTAN JOHOR SANGAT DEKAT DENGAN RAKYATNYA


Pengusaha Warung Saga, Ahmad Ismail menunjukkan gambar kenangan beliau bersama DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar. | Foto MDJ Nurina Aisyah.

 

Oleh: Badrul Kamal Zakaria, Ariff Nasseem Murad, Farhanah Haziqah Noh, Suhana Mohd Arifin dan Farhan Khair

 

Setiap kali kita memasang impian untuk bertemu dengan individu terkenal apatah lagi memegang status sebagai sultan atau raja pemerintah sesebuah negeri sudah pasti akan terlintas mengenai kawalan ketat sama ada daripada pihak polis pengiring atau pengawal peribadi.

 

Namun bagi Bangsa Johor pula, untuk bertemu dengan sultan atau kerabat diraja Johor bukan satu ‘impian mustahil’ kerana mereka sendiri amat bertuah kerana bukan sahaja bertemu atau menatap wajah semata-mata tetapi juga berpeluang bersalaman dan jika bertuah, mampu merakam detik kenangan berkenaan dalam sekeping foto.

 

Antara mereka yang bertuah ialah Pengusaha Warung Saga, Ahmad Ismail yang turut mempunyai kisahnya yang tersendiri bersama DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang sempat berkenan mengunjungi perniagaannya yang diwarisi daripada ayahnya.

 

“Jika tidak silap saya, pada sekitar 2018, tuanku berangkat ke warung ini. Waktu itu, saya memang terkejut kerana tuanku datang secara tiba-tiba tanpa diberitahu, lagi pun kami juga tidak membuat persediaan yang rapi. Tuanku tiba bersama dengan pengawal peribadinya dan saya sempat mengambil ‘order’ daripada baginda.

 

Foto MDJ Nurina Aisyah.

“Tuanku bertanya sarapan apa yang ada di warung saya, tetapi saya hanya memberitahu hanya tinggal mi rebus sahaja kerana menu lain sudah habis kerana tuanku tiba kira-kira jam 10 pagi pada Ahad. Walaupun tuanku maklum sudah tidak banyak menu yang tinggal untuk dimakan, namun tuanku tidak kisah kerana apa sahaja juadah lain akan tuanku santap.

 

“Tuanku memesan air teh ‘o’ dan makan serta minum menu biasa sebagaimana yang dimakan oleh rakyat biasa. Bukan tuanku sahaja, anakanda tuanku iaitu YAM Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Ibni Sultan Ibrahim dan Tunku Panglima Johor, YAM Tunku Abdul Rahman Ibni Sultan Ibrahim juga menunjukkan sifat sebagaimana ayahanda mereka berdua,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor.

 

Mengulas lanjut pertemuan dengan DYMM Sultan Johor, Ahmad berkata, walaupun berasa sedikit gementar dan teruja, beliau tetap gembira kerana baginda sudi untuk singgah menjamu selera di restoran miliknya.

 

“Lebih menggembirakan saya apabila tuanku minta saya untuk duduk bersama menemani baginda santap dan ketika berbual, baginda juga tidak menggunakan istilah istana seperti beta, sebaliknya tuanku lebih selesa menggunakan perkataan ‘saya dan awak’ sahaja. Maklum sahajalah, inilah kali pertama saya dapat mengadap tuanku yang sememangnya amat saya sanjungi.

 

“Tuanku juga seorang pemurah apabila pada hari itu juga turut belanja pelanggan saya yang turut sama menikmati hidangan yang ada di restoran saya ini. Itulah kenangan yang akan saya ingat sampai bila-bila,” katanya.

 

#SultanBerjiwaRakyat
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor