KEPESATAN PEMBANGUNAN LONJAK KUALITI PENDIDIKAN SETEMPAT


Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Melayu, Iskandar Puteri. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Pembangunan di Iskandar Puteri terutama sekitar Kota Iskandar yang terletaknya pusat pentadbiran Negeri Johor berlaku pesat dengan terbinanya pusat komersial dan perniagaan, taman tema rekreasi, kawasan perumahan moden serta institusi pendidikan ternama dan bertaraf antarabangsa.

 

Kepesatan pembangunan Iskandar Puteri tidak menenggelamkan persekitaran dan potensi Kampung Sungai Melayu yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi, aktiviti perikanan dan ternakan kupang selain produk makanan hasil laut, jelas YB Datuk Pandak Ahmad, Ahli Dewan Negeri Johor Kota Iskandar.

 

Daripada pembangunan yang berlaku khususnya kewujudan institusi pendidikan antarabangsa sebenarnya memberikan limpahan manfaat kepada masyarakat setempat termasuklah anak-anak di Kampung Sungai Melayu yang berada di bangku persekolahan untuk berjaya mengejar cita-cita dan impian.

 

Antaranya, kolaborasi Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Melayu bersama Marlborough College Malaysia yang membuka peluang kepada sesi lawatan berserta aktiviti kaunseling dan interaksi bersama pelajar kedua-dua institusi pendidikan berkenaan.

 

Menerusi inisiatif tersebut, pelajar SK Sungai Melayu diberikan pendedahan terhadap penguasaan bahasa Inggeris seawal usia sembilan tahun yang sekali gus meningkatkan keyakinan sebagai pengacara majlis, pembaca doa dan membuat pembentangan sama ada di dalam mahupun luar sekolah.

 

Selain itu, pelajar tahun 5 dan 6 pula diberikan latihan pemandu pelancong sebagai usaha melahirkan pelapis yang berperanan melindungi khazanah alam semula jadi serta menyampaikan sejarah Sungai Melayu kepada pelancong.

 

Malah, telah dilancarkan program Zoom A iaitu pembelajaran interaktif di SK Sungai Melayu pada 28 April lalu, menjadikan Sekolah Biodiversiti Malaysia itu sebagai antara 13 sekolah di negeri ini, menerima manfaat kemudahan mengakses bahan digital di platform berkenaan.

 

#KampungSungaiMelayu
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor