TRANSFORMASI KAMPUNG SUNGAI MELAYU


Kampung Sungai Melayu, Iskandar Puteri. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Berdasarkan sejarah yang diceritakan secara turun temurun, Kampung Sungai Melayu pernah dijadikan sebagai tempat perlindungan tentera Jepun selama kira-kira dua minggu pada tahun 1942 ketika Perang Dunia Kedua kerana kedudukannya yang strategik di kelilingi kawasan paya bakau dan sungai.

 

Pada hari ini, kewujudan kesan tapak sejarah tentera Jepun ini telah membongkar potensi kawasan perkampungan nelayan terletak berdekatan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Johor, Kota Iskandar sebagai destinasi pelancongan yang sudah menerima kehadiran pelawat dari dalam mahupun luar negara.

 

Enggan tercicir daripada pembangunan pesat Iskandar Puteri dengan kewujudan taman perumahan moden, institusi pendidikan antarabangsa serta bangunan pejabat dan komersial, sejak 10 tahun lalu Kerajaan Negeri sudah mengambil langkah proaktif membangunkan perkampungan berusia lebih 100 tahun ini.

 

Pembangunan Kampung Sungai Melayu telah melibatkan banyak usaha daripada pelbagai pihak berkepentingan seperti Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Tourism Johor serta Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (IRDA), ujar YB Datuk Pandak Ahmad, Ahli Dewan Negeri Johor Kota Iskandar.

 

Dalam Belanjawan Johor 2024, sebanyak RM12.2 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri bagi pembangunan semula Kampung Sungai Melayu secara menyeluruh antaranya pembinaan pintu gerbang dinamakan ‘Gerbang Salam’ bernilai RM500,000 selain pembinaan jeti batu berjumlah RM4.5 juta berkonsep dan bercirikan identiti Johor.

 

Pembangunan yang berlaku di samping statusnya sebagai destinasi ekopelancongan menarik di negeri ini, turut memberikan limpahan manfaat sosioekonomi yang meningkatkan hasil pendapatan harian penduduk yang dahulunya bergantung hanya kepada hasil laut menerusi tangkapan ikan selain ternakan ikan sangkar dan kupang.

 

Tetapi kini, penduduk Kampung Sungai Melayu mampu menjana pendapatan melalui aktiviti seperti menelusuri sungai dengan menaiki bot melihat keindahan alam, melawat kawasan sejarah, pertunjukan dan pembuatan produk kraftangan, jualan hasil Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta sajian makanan laut.

 

Bagi memastikan khazanah alam terus terjaga, penduduk Kampung Sungai Melayu menjayakan program Johor Bersih setiap minggu yang turut melibatkan pelbagai pihak termasuklah jabatan dan agensi kerajaan, pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta pelajar sekolah dan penuntut institut pendidikan tinggi (IPT).

 

Malah, kemajuan perancangan pembangunan Kampung Sungai Melayu akan dijadikan contoh untuk membangunkan 12 kampung lain di sekitar kawasan Tanjung Kupang di mana salah satunya adalah Pendas yang kaya dengan hasil laut serta keunikan budaya masyarakat Orang Asli di sana.

 

#KampungSungaiMelayu
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor