SYUKUR, BERTUAH TERIMA BANTUAN KERAJAAN


Mohd Fazrul Nizam Juhari, 39, untuk mengusahakan perniagaan kedai kopi Kopinikasi di Bandar Penawar. Foto MDJ Wira Anggara

 

Memilih pulang ke kampung halaman selepas berkelana di luar negeri ternyata menjadi keputusan yang tepat buat Mohd Fazrul Nizam Juhari, 39, untuk mengusahakan perniagaan kedai kopi kecil-kecilan di Bandar Penawar terletak tidak jauh dari pusat pelancongan terkenal negeri, Desaru dan Tanjung Balau.

 

Kopinikasi yang diusahakan kini bukanlah suatu nama asing terutama bagi pecinta kopi dan penggemar kek dan pastri malah menjadi destinasi persinggahan buat pelawat dari luar daerah, negeri mahupun negara apabila berkunjung ke Kota Tinggi terutama ke Bandar Penawar atau menuju ke Desaru untuk berlibur.

 

Mohd Fazrul yang telah mengusahakan kedai kopi berkenaan selama tujuh bulan tidak menyangka terpilih sebagai salah seorang penerima bantuan Program Start Right (PSR) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) atau PSR@KKDW bernilai RM10,000 dalam bentuk peralatan dan bimbingan selama enam bulan.

 

Pada peringkat awal, beliau tidak mengetahui mengenai inisiatif tersebut sehingga didatangi oleh pegawai KEJORA yang mengajaknya menyertai program. Malah dirinya bersyukur atas beberapa bantuan lain serta kursus yang diterima daripada KEJORA yang sekali gus memberikan impak kepada pendapatan harian.

 

Program Start Right (PSR@KKDW) merupakan program bantuan keusahawanan dalam bentuk latihan dan peralatan perniagaan tidak lebih RM10,000 kepada usahawan luar bandar terutama lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khususnya belia B40 yang dimohon melalui agensi dilantik KKDW seperti KEJORA.

 

Pada Jelajah Aspirasi Orang Muda Johor @ Kota Tinggi sempena Hari Belia Negara Peringkat Negeri Johor 2024, seramai 20 penerima menerima bantuan berjumlah keseluruhan RM1.83 juta disampaikan oleh YB Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor.

 

Kesemua bantuan terbabit melibatkan jabatan dan agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan iaitu Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB), KEJORA, Jabatan Pertanian Negeri Johor, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ).

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor