KERAJAAN JOHOR AKAN PASTIKAN SETIAP TASKA BERDAFTAR JKM


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail, berkata pihaknya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor akan menjalankan ‘taskforce’ terhadap TASKA yang tidak berdaftar atau berlesen | Foto Ihsan, FB Khairin-Nisa Ismail.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor akan memastikan setiap taman asuhan kanak-kanak (TASKA) di negeri ini, berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, satu perbincangan bersama JKM Negeri Johor sudah diadakan bagi menjalankan ‘taskforce’ terhadap TASKA yang tidak berdaftar atau berlesen.

 

“Untuk makluman, Kerajaan Negeri Johor akan terus bertegas kepada mana-mana pihak yang melakukan ketidakadilan dan tidak memberi hak kanak-kanak yang sepatutnya,” kata beliau dalam Facebook rasminya, hari ini.

 

Khairin-Nisa berkata, di bawah Seksyen 6 Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 memperuntukkan tiada seorang pun boleh menjalan atau mengambil bahagian dalam pengurusan suatu TASKA yang tidak didaftarkan.

 

Ujarnya, kesalahan tersebut boleh dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM10,000 dan penjara tidak melebihi dua tahun.

 

Selain itu, beliau turut menasihatkan kepada ibu bapa serta penjaga untuk terus cakna berkenaan penjagaan kanak-kanak.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor