MANFAAT HUJUNG MINGGU ‘RESIPI KEJAYAAN’ PELAJAR CEMERLANG SDKA 2022


Shahizatul Arianie Shahrul bersama keluarganya semasa mengambil keputusan keputusan Sijil Darjah Khas Agama (SDKA) 2022, semalam. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

ISKANDAR PUTERI — Memperuntukan masa belajar pada setiap hujung minggu menjadi ramuan kejayaan Shahizatul Arianie Shahrul, 13, dari Sekolah Agama Taman Seri Saujana, Kota Tinggi meraih Pangkat 1 bagi keputusan Sijil Darjah Khas Agama (SDKA) 2022.

 

Anak ketiga dari empat beradik yang juga merupakan pelajar Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi itu tidak menyangka mendapat keputusan cemerlang meskipun sibuk dengan rutin kehidupan di asrama.

 

“Selepas selesai rutin sekolah menengah pada hari Khamis, saya akan mula ‘prep’ pada petang dan malam sebagai langkah persediaan sebelum kelas darjah khas bermula.

 

“Saya juga menyiapkan latihan yang ustaz beri mengikut masa. Contoh Sabtu belajar Tauhid, sebelum Sabtu minggu depan saya pastikan ia akan siap.

 

“Sebulan sebelum peperiksaan selain belajar di kelas, kami turut membuat ulang kaji secara dalam talian” katanya yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran di Jordan.

 

Sementara itu, Muhamad Iman Muhaimin Mohd Lazin, 17, memberitahu rahsia kejayaannya adalah melalui memberi keutamaan kepada ibadah dan amalan sunat.

 

“Malam kita cari masa untuk menghafal al-Quran, sebab ia adalah kunci segala ilmu pengetahuan dan menguatkan lagi daya ingatan kita,” kata beliau yang merupakan Pelajar Terbaik Sijil Menengah Agama (SMA) bagi kategori Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah Agama (KBSMA).

 

Bagi Amirah Khairiah Ahmad Kamal, 17, turut berkongsi tips kejayaannya iaitu penguasaan kepada teknik hafalan yang membantu sepanjang proses pembelajaran.

 

“Untuk mata pelajaran Syariah dan Usuluddin saya menggunakan teknik hafal dan ulang. Jika kita sentiasa ulang hafalan kita, insya Allah kita akan lebih ingat,” kata pelajar Maahad Pontian yang juga Pelajar Terbaik SMA 2022 kategori Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) 3 Bidang.

 

Kesemua pelajar cemerlang SDKA dan SMA 2022 itu ditemui selepas majlis pengisytiharan keputusan bagi kedua-dua peperiksaan itu yang telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid di Pusat Islam Iskandar Johor, semalam.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor