KERAJAAN JOHOR GIAT LAKSANA PEMUTIHAN KEMISKINAN TEGAR
TANGKAK — Kerajaan Johor terus beriltizam untuk menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini menjelang tahun 2025, dengan melaksanakan proses pemutihan di semua daerah.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, usaha tersebut selari agenda menjadikan Johor sebagai sebuah negeri maju pada tahun 2030.
“Kita mulakan dahulu dengan daerah Tangkak, Batu Pahat, Kluang dan Johor Bahru di mana kita mengenal pasti mereka yang telah menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
“Kadang-kadang semasa kita buat pemeriksaan, ada di antara mereka Alhamdulillah, dah lepas atau keluar dari paras kemiskinan tegar. Jadi ini adalah salah satu usaha Kerajaan Negeri ke arah sifar miskin tegar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Media Digital Johor selepas Majlis Perasmian Karnival Gunung Ledang dan Tanah Tangkak 2023 yang berlangsung di sini, pada Ahad.
Ditanya mengenai Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) tidak berlesen, Khairin-Nisa berkata, Kerajaan Negeri kerap membuat pemantauan bersama JKM, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Sehingga kini, terdapat 70 taska tidak berlesen dan kita juga bukan sahaja menjaga kepentingan kanak-kanak di situ, tetapi juga kita menjaga kepentingan pekerja-pekerja di taska berkenaan.
“Kerajaan Negeri hendak memberi lesen kepada taska-taska yang masih lagi tidak berdaftar, sekiranya sudah dilesenkan kita akan paparkan senarai taska berlesen di portal JKM agar rakyat mudah untuk membuat semakan,” katanya.
Beliau turut memberitahu Kerajaan Negeri sedang memperluas kemudahan Jauhar Childcare Centre (JCC) di seluruh negeri ini, dengan pertambahan dua lagi pusat jagaan itu yang sedang dibina di Kluang dan Segamat.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor