MOTAC SETUJU SALUR RM3.5 JUTA NAIK TARAF INFRASTUKTUR PELANCONGAN JOHOR


Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Tiong King Sing (kiri) bersama dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. | Foto ihsan FB Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI — Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersetuju menyalurkan peruntukan RM3.5 juta bagi melaksanakan kerja menaik taraf infrastruktur kawasan pelancongan di negeri ini.

 

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Tiong King Sing.

 

“Johor merupakan sebuah negeri yang mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan. Keunikan Johor diserikan dengan keindahan pulau-pulau, taman-taman negara, warisan budaya dan sejarah, festival-festival ikonik dan syurga makanan.

 

“Sebagai contoh, daerah Mersing terkenal dengan keindahan pulau-pulaunya, Taman-Taman Negara di Johor yang kaya dengan khazanah alam, serta Kampung Sungai Melayu, yang boleh dijadikan sebagai kawasan ekopelancongan, adalah antara lokasi menarik yang mampu diketengahkan,” kata beliau dalam Facebook rasminya, pada Isnin.

 

Terdahulu, Menteri Besar Johor mengetuai delegasi Johor mengadakan kunjungan hormat ke atas King Sing di pejabat MOTAC.

 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan Dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar; Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Johor, Dato’ Salim Aman serta Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ), Dr. Amirul Haffiz Ariff.

 

Hadir sama, Pengarah, Perbadanan Taman Negara Negeri Johor, Taufik Bahar; Yang DiPertua Majlis Daerah Mersing, Mohd Norman Noh; Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Selatan, Muhammad Nasir Pahmi; Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Johor, Azren Khalil serta Timbalan Pengarah Tourism Johor, Dr. Azlan Abd Jalil.

 

Selain itu, Onn Hafiz juga menzahirkan kesyukuran berikutan Johor menerima 9.14 juta pelancong sejak pembukaan semula sempadan antarabangsa pada April tahun lalu, iaitu jumlah tertinggi berbanding negara ASEAN lain.

 

“Oleh itu, Kerajaan Negeri optimis mampu mencapai sasaran ketibaan 10 juta pelancong untuk tahun 2023. Justeru, menerusi kerjasama dan sokongan pihak MOTAC serta agensi berkaitan, misi menjadikan Johor sebagai sebuah destinasi pelancongan utama negara mampu direalisasikan,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor