KKM LULUS PERUNTUKAN RM569,997, NAIK TARAF KK SUNGAI MATI


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail mengadakan sesi tinjauan di Klinik Kesihatan Sungai Mati, baru-baru ini. | Sumber foto: Facebook Khairin-Nisa Ismail.

ISKANDAR PUTERI — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meluluskan peruntukan sebanyak RM569,997 bagi usaha menaik taraf kemudahan Klinik Kesihatan (KK) Sungai Mati, Tangkak.

 

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon dalam tinjauannya bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail di KK berkenaan, baru-baru ini.

 

“KKM telah meluluskan peruntukan sebanyak RM 569,997 bagi menaik taraf KK ini (KK Sungai Mati) untuk mengatasi isu kebocoran, penggantian bumbung dan pengecatan bangunan klinik dan juga sistem pendawaian.

 

“Setakat ini, tender projek telah berada di fasa terakhir dan menunggu kelulusan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ),” katanya.

 

Sementara itu dalam perkembangan lain, Khairin-Nisa dalam kenyataannya di Facebook rasminya memaklumkan hasrat beliau untuk menyedia kemudahan lokar ubat bagi KK itu di tiga lokasi.

 

“KK Sungai Mati mengambil inisiatif ini (kemudahan lokar) bagi memudahkan pengambilan ubat kepada pesakit bagi mengelakkan mereka untuk bergerak jauh untuk ke KK berkenaan.

 

“Pihak KK Sungai Mati merancang untuk meletakkan lokar di tiga buah tempat yang berasingan (dengan kos sebanyak RM3,000) iaitu di Pasaraya Nafas Tanjung Agas, Klinik Desa Kesang dan KK Sungai Mati. Ia seterusnya dapat memanfaatkan seramai 2100 pesakit,” katanya.

 

Khairin-Nisa berkata, KK berkenaan yang hanya mampu menampung seramai 60 pesakit sehari itu juga akan dilengkapi perkhidmatan X-ray bagi kemudahan pesakit yang ingin mendapatkan rawatan tersebut.

 

“Ini kerana, pesakit yang ingin menjalani perkhidmatan X-ray perlu ke daerah Muar dan ini secara tidak langsung mendatangkan kesukaran kepada pesakit.

 

“Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada YB Tian Soon yang telah memberikan peruntukan RM3,000 kepada pihak KK Sungai Mati dalam usaha untuk memudahkan urusan pesakit,” katanya.

 

Khairin-Nisa yang turut merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom bersama Tian Soon menzahirkan harapan supaya usaha naik taraf KK itu dapat memastikan kelancaran penyediaan perkhidmatan perubatan kepada pesakit kelak.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor