KERAJAAN JOHOR IKTIRAF SUARA MAHASISWA DALAM MEMBANGUNKAN BELIA SECARA HOLISTIK
ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor mengiktiraf suara mahasiswa terdiri anak muda sebagai input dalam kerangka mewujudkan pembangunan belia secara menyeluruh untuk negeri ini.
Menyifatkan suara mahasiswa sebagai penting, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, kumpulan tersebut tidak pernah terlepas daripada perhatiannya dan kerajaan negeri.
“Di bawah pentadbiran YAB Datuk Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor yang mahukan saya dan EXCO lain yang berkaitan untuk bekerja secara rentas portfolio dan bersama menjayakan agenda pembangunan belia.
“Sebagai contoh libat urus bersama mahasiswa Anak Johor yang dirancang di bawah Institut Dato’ Onn (IDO) menerusi Program Jelajah Mahasiswa turut melibatkan YB Norliza iaitu EXCO Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Ikon Siswa Johor 2022 selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor di Johor Bahru, semalam.
Selain itu, katanya, pelbagai program sudah disusun atur untuk belia dan mahasiswa oleh IDO antaranya Persidangan Belia Antarabangsa dikenali Hikmah Johor yang menghimpunkan pemimpin-pemimpin muda dari dalam dan luar negara.
“Selain itu, satu Modul Kepimpinan Belia Johor juga akan dimulakan menerusi Program Medini Leadership di mana peserta terlibat membabitkan Anak Johor dalam program ini akan dibawa menjalani kursus jangka pendek di Oxford University,” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor